Anggota polis membuat persediaan dengan mengawal perkarangan Pusat Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai Ke-15 di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 26 OGOS 2023.

JOHOR BAHRU – Gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi memilih Ahli Parlimen Pulai, di sini, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram di Muar, bermula hari ini dengan dua pusat penamaan calon akan dibuka bermula 9 pagi.

Pusat penamaan calon bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram masing-masing adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini dan di Muar.

Semua bakal calon mempunyai tempoh hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus di kedua-dua pusat penamaan calon, sebelum diisytihar layak bertanding dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 5 September manakala 9 September sebagai hari pengundian.

Ini bermakna semua calon yang layak bertanding di kedua-dua PRK mempunyai tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga detik 11.59 malam, 8 September.

Pakatan Harapan (PH) telah menamakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor yang juga Setiausaha Politik Allahyarham Salahuddin, Suhaizan Kaiat yang bertanding atas tiket Amanah sebagai bakal calon Parlimen Pulai untuk mempertahankan kerusi itu, menentang bakal calon PN Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai.

Sementara itu, di DUN Simpang Jeram pula,  PH mempertaruhkan Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri Nazri Abdul Rahman yang merupakan seorang jurutera menentang calon PN Dr Mohd Mazri Yahya, seorang pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular.

Selain itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi difahamkan juga turut mencuba nasib untuk menjadi Ahli Parlimen apabila telah menyatakan hasrat untuk bertanding  di kawasan itu atas tiket Bebas.

Berdasarkan statistik SPR, Parlimen Pulai mempunyai sebanyak 166,653 pemilih dengan 165,799 pengundi biasa; 927 terdiri daripada polis dan pasangan serta pengundi tidak hadir (PTH) sebanyak 26 orang.

Sementara itu, terdapat 40,379 pemilih di DUN Simpang Jeram dengan 40,373 pengundi biasa manakala enam orang PTH.

Pada PRU-15 lepas, Salahuddin menang di Parlimen Pulai dengan majoriti 33,174 undi selepas memperoleh 64,900 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mendapat 31,726 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN) Loh Kah Yong meraih undi sebanyak 20,677.

Salahuddin juga mengekalkan kemenangan di DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac tahun lepas,  buat kali kedua apabila memperoleh 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh (6,350 undi), calon BN, Lokman Md Don (6,062) dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mahaizal Mahmor dengan 208 undi.

Sementara itu, menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada hari ini dijangka hujan di sebelah pagi, manakala sebelah petang diramal ribut petir. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Terimakasih la diucapkan kepada kakitangan beruniform serta kakitangan kerajaan yang memberi undi padu tidak berbelah bahagi kepada PN dalam PRU lepas.

    Bersama2 rakyat Johor yang bijaksana, sekali lagi kita beri undi padu kepada PN di Johor.

    Kekal bersih dan tetap istiqamah.

Comments are closed.