Gambar hiasan

KIRA-KIRA 35 tahun lalu pada tahun 1988, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah dimulakan bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Darjah Lima.

Ramai antara kita tidak tahu atau mungkin sudah terlupa mengapa UPSR diperkenalkan. Biar saya segarkan semula ingatan kita bersama.

UPSR telah diperkenalkan pada tahun 1988 untuk menggantikan Penilaian Darjah Lima yang didapati terlalu ‘exam oriented’.

Ketika pelaksanaan Penilaian Darjah Lima, seluruh sistem pendidikan rendah hanya untuk mengejar keputusan 5A. Ibu bapa ketika itu berlumba-lumba supaya anak mereka mendapat 5A.

Ketika itu, memang ramai murid darjah lima (umur 10 tahun) ikuti kelas tuisyen. Sekolah juga anjur bengkel latih tubi dan bersiap sedia dengan pelbagai soalan ramalan.

Sebab ketika itu, Penilaian Darjah Lima telah digunakan sebagai kelayakan untuk ke tingkatan satu, ke asrama penuh dan asrama harian. Bila masuk darjah enam, murid ‘honeymoon’ setahun. Tidak belajar sangat.

Saya masih ingat, semakin hari ‘gila 5A’ semakin teruk. Akhirnya Kementerian Pendidikan ambil keputusan menukarkan konsep Penilaian Darjah Lima kepada UPSR di darjah enam sesuai dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang dimulakan pada tahun 1983.

UPSR, sesuai dengan namanya adalah satu saringan ‘ujian pencapaian’. Pada awal pelaksanaannya, UPSR adalah untuk mengukur tahap pencapaian 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) murid.

UPSR bukan peperiksaan yang bertujuan mengenal pasti murid cemerlang, tetapi hanyalah satu ujian saringan untuk mengenal pasti tahap pencapaian 3M murid selepas enam tahun belajar di sekolah rendah.

UPSR bertujuan untuk mengetahui bolehkah murid membaca, menulis dan mengira dengan baik? Itu sahaja.

Tetapi, lama kelamaan, UPSR kena ‘hijack’ dan kembali menjadi seperti amalan Penilaian Darjah Lima.

Siapa yang ‘hijack’? Anda tentu boleh teka sendiri. Tentulah bukan pakcik tukang kebun sekolah atau mak cik kantin sekolah. Pastinya bukan juga hasil kerja abang guard sekolah.

Tentulah ada pihak lain yang mempunyai kepentingan bila ramai murid di sekolah, daerah atau negeri mereka yang dapat banyak A dalam UPSR. Boleh diuar-uarkan kononnya sebagai kejayaan besar hasil usaha mereka.

Akhirnya, UPSR yang sepatutnya baik konsepnya telah berubah menjadi seperti Penilaian Darjah Lima yang telah dimansuhkan pada tahun 1988. UPSR kembali menjadi ‘exam oriented’.

Ia berterusan sehingga ditambah-tambahkan dalam UPSR itu supaya menjadi lebih sukar dan kompleks. Misalnya, bahasa Inggeris telah dipecahkan kepada dua kertas peperiksaan.

‘Kegilaan’ itu menyebabkan anak-anak kembali menjadi tertekan, murung dan tidak seronok lagi untuk belajar. Guru juga turut tertekan. Ibu bapa juga begitu.

Latih tubi jadi keutamaan pembelajaran. Soalan ramalan menjadi satu budaya yang diamalkan secara meluas.

Hakikatnya, bukan salah UPSR. Salahnya pada pihak yang datang kemudian menambah-nambah kepada UPSR. Sampailah plakad keputusan UPSR menjadi budaya sekolah semasa keputusan diumumkan (sepatutnya UPSR tidak perlu pengumuman).

Akhirnya pada tahun 2021 kerana tidak mahu anak-anak tertekan, Kementerian Pendidikan telah mansuhkan UPSR. Sebenarnya, bukan UPSR yang gagal atau salah, tetapi pihak yang ‘hijack’ dan menunggang UPSR itulah yang bersalah.

Jika UPSR benar-benar dilaksanakan sebagai satu ujian saringan bagi mengukur tahap pencapaian, bukan digunakan pihak tertentu untuk membandingkan pencapaian murid, prestasi guru dan sekolah, UPSR adalah kaedah pentaksiran terbaik untuk sekolah rendah.

Sekurang-kurangnya dengan UPSR, kita akan tahu apakah tahap pencapaian minima murid sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Kita telah mansuhkan UPSR, tetapi sebenarnya bukan salah UPSR pun. Ibarat bila marahkan nyamuk, kita bakar kelambu. Sepatutnya orang yang tidak tutup pintu kelambu itu yang patutnya dipersalahkan.

Hari ini, kita telah kenalkan pula Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang rigid dengan pelbagai pelaporan. Kalau kena ‘hijack’ lagi, apakah kita akan mansuhkan PBD juga?

Jangan lupa, selain PBD, kita juga masih ada juga peperiksaan akhir tahun. Apakah kita yakin anak sekarang gembira, seronok dan tidak akan tertekan dengan amalan pentaksiran yang caca marba (PBD+UASA/UPSA) sekarang?

Negara kita Malaysia semua perkara bercelaru terutama soal Dasar Pendidikan Negara yang tidak dihormati setengah golongan, manakala hal pengurusan pentadbiran juga terus menjadi rungutan rakyat.

Dr. Anuar Ahmad, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti UKM

Penulis, Dr. Anuar Ahmad, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti UKM