Calon Perikatan Nasional (PN) P.161 Pulai, Zulkifli Jaafar mendengar luahan salah seorang peniaga semasa berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Pasaraya Komuniti A-Mart Kempas, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 26 OGOS 2023.

JOHOR BAHU – Tempoh singkat berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bukan penghalang bagi calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar untuk menawan hati pengundi kawasan Parlimen Pulai.

Calon yang tidak lekang dengan senyuman itu yakin beliau mempunyai kelebihan sebagai anak jadi untuk pengundi mengenalinya.

Zulkifli, 50, yang juga usahawan kelahiran Tampoi berkata, beliau akan menggunakan tempoh kempen sepanjang 14 hari sebaik mungkin dengan memfokuskan keseimbangan dan kesejahteraan rakyat di kawasan itu

“Insya-Allah sebab kita sudah bergerak sebelum ini. Insya-Allah cukup. In between that saya tidak boleh jawab kerana kuasa pemilik dalam tangan pengundi. Tetapi in comunity saya dalam kawasan Pulai. Home town.

“Kita akan sentuh mereka tanya apa masalah mereka dan kita fikir cara selesaikan. Saya sudah biasa macam itu jumpa orang, masa dia tengah susah telefon tengah malam. Jadi saya buat benda yang asas,” katanya ketika ditemui pada Walkabout di Kempas, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai itu berkata, beliau akan memanfaatkan tempoh kempen selama 14 hari untuk mendekati pengundi dengan mendengar keluhan rakyat  bagi membolehkannya melakar kemenangan pada 9 September depan.

Katanya, tugas beliau dalam PRK kali ini bukan sekadar membawa nama parti dan dirinya, tetapi juga legasi mentornya iaitu Menteri Besar Johor ke-16, Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai berkata, beliau akan menggunakan pengalaman sebagai ahli perniagaan dalam bidang logistik dan pengangkutan untuk membantu rakyat meningkatkan taraf ekonomi menerusi perniagaan. – MalaysiaGazette