Tangkap layar video kereta Proton Saga yang terlibat dalam kemalangan bersama Proton Gen 2 sebelum tular di media sosial pada 23 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR – Polis mahu mendapatkan kerjasama daripada pemandu kenderaan jenis Proton Gen 2 bagi membantu siasatan kes insiden dua pemandu kereta bertengkar dalam kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, semalam pihaknya mengesan satu video tular yang didapati dimuatnaik di dalam akaun Twitter
https://twitter.com/nanmanjoi8715/status/1695302627251425471?s=20.

Katanya, pemerhatian polis terhadap video itu berdurasi 43 saat itu memaparkan insiden pertengkaran antara dua lelaki dipercayai warga tempatan akibat kemalangan jalan raya.

“Hasil semakan polis mendapati kemalangan telah berlaku pada 23 Ogos lalu melibatkan dua buah kereta Proton Saga dan juga Proton Gen 2 di Jalan Pelabuhan Barat.

“Siasatan kami mendapati kejadian berlaku apabila kedua-dua pihak dalam perjalanan dari arah Pulau Indah menuju ke Klang dan selepas sampai di tempat kejadian dalam keadaan jalan raya sesak, pemandu yang berumur 38 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga sedang bergerak lurus tiba-tiba telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta jenis Proton Gen 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahagian hadapan Proton Gen2 yang rosak dan pemandunya yang diminta tampil membantu siasatan oleh polis selepas melanggar di belakang kereta Proton Saga sebelum kedua-dua pemandu bertengkar atas jalan dalam kejadian pada 23 Ogos lalu.

Rentetan daripada insiden kemalangan itu, kedua-dua pemandu kenderaan itu tidak berpuas hati dan dan berrtengkar atas jalan raya.

Menurutnya, siasatan polis juga mendapati pertengkaran mulut itu berlaku selepas pemandu kereta Proton Saga tersebut meminta ganti rugi ke atas kerosakan keretanya yang dilanggar oleh pemandu Gen 2.

“Pada masa yang sama pemandu kereta Proton Saga telah merakam video semasa insiden pertengkaran mulut berlaku dengan pemandu Proton Gen 2 menggunakan telefon bimbit miliknya.

“Semakan lanjut polis mendapati satu laporan polis telah dibuat oleh pemandu kereta Proton Saga pada hari kejadian itu dengan memaklumkan dalam aduannya bahawa dia hanya ingin membuat laporan polis berkaitan kemalangan sahaja,” ujarnya.

Bertindak atas laporan yang diterima daripada pengadu itu, pegawai penyiasat dari Trafik IPD Klang Selatan telah menghantar satu notis Panggilan Saksi di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah kepada pemilik kereta jenis Proton Gen 2 supaya hadirĀ  ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Klang Selatan untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana saksi berada di lokasi kemalangan atau melihat kejadian berlaku supaya memberi kerjasama berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Sarjan Mohamad Amirrul Roseli di talian 017-946 9798.

Beliau memaklumkan bahawa kes berkenaan sedang disiasat di bawah kaedah 10 LN 166/59.

“Polis pada masa yang sama mengingatkan kepada semua pengguna lalulintas supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah di jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette