Pengarah Urusan TXMR Sdn Bhd, Tengku Mohd Farid Tengku Hassim berucap pada majlis konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kali ke-24 di Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2023.

SHAH ALAM – Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) membuka ruang penjenayah siber untuk melakukan klon suara dan wajah bagi memperdaya mangsa.

Ia menjadi semakin sukar dibenteras, kata Pengarah Urusan TXMR Sdn Bhd, Tengku Mohd Farid Tengku Hassim.

Menurutnya, kemampuan teknologi merobohkan sempadan antara realiti dan fiksyen amat berbahaya dan boleh mengancam peradaban manusia jika tidak digunakan dan dikawal dengan baik.

“Adalah penting bagi masyarakat khususnya para graduan yang akan melangkah ke alam pekerjaan agar menyeimbangkan antara ilmu dan kemahiran teknologi aras tinggi dengan peribadi dan integriti terpuji.

“Ini bagi memastikan masyarakat pintar dan madani dapat dilahirkan seperti mana dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke-24, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Dr Norhayati Zakaria.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 1,571 graduan bakal menerima 253 ijazah, 1,302 diploma dan 16 sijil.

Dari jumlah itu, seramai 439 graduan daripada Jabatan Perdagangan, Jabatan Kejuruteraan Elektrik (412) dan masing-masing Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (360).

Mohd Farid juga berkata, keghairahan masyarakat mengadaptasi kemajuan teknologi boleh menimbulkan kesan negatif dalam perkembangan dunia tanpa sempadan ini.

“Etika dan nilai murni sekian lama menjadi identiti rakyat Malaysia mula terhakis dan bercampur-baur dengan nilai barat lebih bersikap terbuka terutamanya dalam soal kebebasan, hak dan kontradiksi isu perjuangan diskriminasi.

“Pergaulan bebas, hubungan songsang, kecenderungan mencedera serta membunuh diri, tarian ghairah dan kini menjadi trend malah menular dalam kalangan pelajar seawal sekolah rendah lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast