Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie

BUTTERWORTH – Polis menahan empat mat rempit yang menunggang motosikal secara berbahaya selain dipercayai berlumba sesama sendiri di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di Bagan Ajam di sini awal pagi tadi.

Op Samseng Jalan bermula 11.30 malam hingga 7 pagi tadi turut membongkar kesemua suspek berkenaan positif dadah jenis methamphetamin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, hasil semakan mendapati masing-masing suspek berusia 20-an dan bekerja sendiri.

“Kesemua suspek diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen (1)(a) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan menunggang motosikal bawah pengaruh dadah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, dalam operasi sama pihaknya turut mengesan seorang lelaki yang mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal yang ditungganginya.

“Lelaki berusia 20 tahun itu memberi alasan suka-suka mengunakan nombor pendaftaran palsu namun kita mengesyaki ia bagi mengaburi mata pihak polis.

“Selain itu, kita juga mengeluarkan 57 saman atas pelbagai kesalahan trafik manakala empat motosikal disita susulan mengubah suai yang melampau,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast