KUALA LUMPUR – Bukan mudah untuk memilih percutian yang benar-benar menjanjikan kelainan kepada pengunjung tempatan mahu pun luar negara yang ingin bersantai dalam suasana hutan.
Ini kerana alang-alang bercuti, siapa yang tidak mahu merasai percutian yang mendamaikan dan tenang daripada hiruk pikuk bandar.
Jadi, apa kata sesekali keluar daripada kesesakan kota, tenangkan minda dan manjakan diri serta keluarga di Zarania Caravan Park yang pasti akan memberikan pengalaman yang luar biasa tanpa perlu berbelanja besar.
Zarania Caravan Park hanya mengambil masa 10 minit untuk sampai dari Plaza Tol Gopeng, Perak di mana kawasan ini terkenal dengan aktiviti sungai yang mencabar.
Bagi pertama kali yang menginap di dalam karavan, pengunjung pasti akan jatuh cinta kali pertama dengan pengalaman tinggal dalam kenderaan van panjang yang lengkap dengan katil selesa dan bilik air.
Zarania Caravan Park memiliki dua jenis karavan untuk dua orang dan empat orang selain calet berhawa dingin dan berkipas serta pondok yang berkonsepkan rumah kampung.
Apa yang menarik, lantai pondok penginapan yang berbunyi ketika berjalan cukup mengimbau nostalgia rumah kampung. Tidak dilupakan juga beranda di pondok penginapan yang membolehkan pengunjung beristirehat sambil menghirup udara segar yang nyaman.
Malah talian internet dan telefon bagi sesetengah syarikat telekomunikasi yang sukar untuk dicapai akan membolehkan pengunjung benar-benar menggunakan waktu bercuti dengan sepuas-puasnya dan berkualiti dengan orang tersayang.
Ini kerana segalanya bersatu dengan ketenangan daripada kesibukan kota, keindahan pokok-pokok yang meredupi dan kesejukan air serta angin dari sungai yang terbentang luas sambil menikmati alam semula jadi.
Lebih mengujakan, suasana pada waktu malam ditemani bunyi-bunyi alam semula jadi seperti cengkerik dan unggas yang mempesonakan.
Di sini selain dikelilingi hutan tropika, sungai yang bersih di belakang resort dan persekitaran kebun turut menggamit suasana tenang kepada pengunjung.
Selain dapat bersantai di ruang dalam dan luar karavan, pelbagai lagi aktiviti menarik yang boleh dilakukan sepanjang percutian anda di sini seperti memancing, mandi sungai, berkelah, BBQ dan aktiviti water rafting.
Apatah lagi, acara sukan air kini mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan ekstrem. Manakan tidak, ia cukup mencabar fizikal dan mental peserta selain menguji keberanian mereka untuk mengharungi arus deras.
Selain itu, pengunjung mencuba aktiviti ATV dengan bayar RM100 atau aktiviti mendaki di Bukit Batu Putih yang terletak hanya 10 minit daripada tempat ini.
Pada masa sama, bagi yang gemar aktiviti lebih mencabar, boleh juga pergi Ulu Geruntum untuk dan menerokai Gua Tempurung,
Jadi, tunggu apa lagi cepat-cepat bincang dengan yang tersayang untuk membuat tempahan bercuti ke sini. – MalaysiaGazette