TikTok Awards Malaysia 2023 disiarkan secara langsung TV3 dan akaun TikTok Malaysia merupakan acara anugerah terbesar anjuran platform media sosial, TikTok.

KUALA LUMPUR – Pempengaruh popular, Khairul Aming dinobatkan sebagai pemenang kategori Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2023 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Kuala Lumpur malam tadi.

Kemenangan Khairul Aming sekaligus mengatasi lima pencabar lain seperti Boss James yang mengendalikan akaun TikTok @bossjames_eo; Lawyer Gandhi (@lawyerghandi); Auntie Purple (@auntiepurple248); Ceddy (@ceddyornot) dan Sally (@sallywhoo).

Khairul atau nama lengkapnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 31, dalam ucapannya berharap momen manis itu dapat disaksikan Allahyarham bapanya.

“Terima kasih kepada mak, arwah ayah dan pasukan Sambal Nyet (produknya).

“Kalau ayah dapat tengok saya terima anugerah ini mesti dia berbangga sebab sudah lapan tahun saya bekerja keras,” katanya ketika menerima trofi.

Dalam masa sama, Khairul yang sangat terkenal dengan kandungan memasak sepanjang bulan Ramadan sempat menitipkan nasihat kepada anak muda untuk tidak mengabaikan pelajaran.

“Kepada anak muda yang menceburi bidang ini, kalau masih bersekolah, habiskan belajar dahulu supaya keluar nanti boleh jadi pencipta kandungan berkualiti.

“Pencipta kandungan ini bukan sekadar tular sahaja, tapi perlu ada adab dan kebolehan menyelesaikan masalah,” ujarnya usai menerima trofi daripada Datuk Yusof Haslam dan Ziana Zain.

Mereka mempamerkan kreativiti melalui penghasilan kandungan yang menyeronokkan seterusnya memberikan impak positif kepada segenap lapisan masyarakat.

Majlis anugerah malam tadi turut dimeriahkan dengan beberapa nama besar seperti Datuk Yusof Haslam, Bell Ngasri, Amber Chia, Farah Ann Abdul Hadi dan ramai lagi yang akan menyampaikan trofi.

Penonton juga diserikan dengan persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Zeppo, Dolla, Marsha Milan, Ernie Zakri, Alyph dan ramai.

Malam kemuncak TikTok Awards Malaysia 2023 dihoskan Izzue Islam, Sherry Alhadad dan Amelia Henderson. – MalaysiaGazette