SHAH ALAM – Lebih 3,000 bendera Jalur Gemilang diedarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kepada Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (JHEIS), agensi dan anak syarikatnya.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, program yang merupakan acara tahunan itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.
Katanya, semua masyarakat perlu menghayati erti kemerdekaan sebaiknya dan menzahirkan rasa syukur menikmati kemakmuran negara yang dikecapi hari ini.
“Kemerdekaan adalah satu kejayaan yang telah dicapai oleh negara kita sepanjang 66 tahun. Kegemilangan dan semangat ini hendaklah disemarakkan agar semangat cintakan negara dan mengingati kejayaan pejuang kemerdekaan sentiasa disemarakkan.
“Semangat cintakan agama, bangsa dan negara hendaklah sentiasa terpahat di dada kita semua. Hayati semangat kemerdekaan dengan mempergiatkan pelbagai aktiviti dan program kemerdekaan dan bersama mengibarkan Jalur Gemilang. Pastikan semangat kemerdekaan tidak luntur dan sentiasa digilap,” katanya kepada pemberita selepas Program Serahan Bendera Jalur Gemilang di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.
Tambah Abdul Aziz, daripada 3,010 bendera Jalur Gemilang yang diedarkan, sebanyak 3,000 bendera pelekat kenderaan dan 10 bendera Jalur Gemilang kepada warga kerja JHEIS.
Ia terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS).
Acara itu kemudian diterus dengan program Konvoi Ziarah Merdeka MAIS, Abdul Aziz berkata sebanyak 100 Jalur Gemilang akan diedarkan ke Pusat Dialisis MAIS, Rumah Puteri Arafiah, dan Rumah Perlindungan Mualaf Baitul Salam.
Katanya, seramai 50 peserta dengan 10 buah kenderaan MAIS terlibat dalam program konvoi itu bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan Ogos ini. – MalaysiaGazette