JASIN – Seorang pelajar sekolah maut, manakala juruteknik parah selepas motosikal yang ditunggang bertembung secara melawan arus di Jalan Industri Kilang Berapi, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Muhammad Aniq Asyraf Abu Bakar, 17, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, seorang lagi penunggang, A. Vijaikumar, 24, yang cedera parah di kepala sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.
“Kemalangan berlaku apabila pelajar Tingkatan 5 terbabit dipercayai menunggang motosikal secara melawan arus dari arah Kampung Kilang Berapi menuju ke arah kawasan Industri Kilang Berapi.
“Ketika sampai di tempat kejadian, terdapat sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggang juruteknik berkenaan dari arah bertentangan menyebabkannya kedua-dua motosikal bertembung,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Tambahnya, rempuhan kuat itu mengakibatkan remaja terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
“Siasatan mendapati laluan tersebut bukanlah laluan sibuk dan sering digunakan oleh penunggang motosikal untuk bersantai-santai,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette