Mohamad Sabu

MUAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa berbohong mengenai ‘penceraiannya’ dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini atas alasan DAP menolak hudud semata-mata, sedangkan parti itu mahu ‘menghalalkan’ hasratnya bersama UMNO.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebagai bekas Timbalan Presiden Pas, beliau mengetahui banyak keputusan hasil perbincangan di peringkat kepimpinan tertinggi Pas.

Menurutnya, hasrat Pas ketika itu adalah untuk menubuhkan kerajaan bersama UMNO dan secara tiba-tiba memutuskan hubungannya dengan DAP atas alasan parti itu menolak hudud.

“(Sebenarnya) tak timbul masalah hudud tak hudud ini kerana hal ini telah dipersetujui dalam perbincangan sebelum itu pada 29 September 2011 di Pejabat Pas di Jalan Raja Laut dan akhirnya kita bersetuju agree to disagree.

“Hanya dua perkara yang tidak dipersetujui dalam perbincangan itu dan satu daripadanya adalah isu hudud dan semua parti selepas itu setuju untuk meneruskan kerjasama politik termasuk Pas.

“Malah, Pas juga bersetuju menggantikan konsep negara Islam yang dibawa selama ini kepada negara berkebajikan, jadi kenapa Hadi sembunyikan fakta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Khas Membongkar Pembohongan Hadi Awang di Taman Sri Kaseh di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mendakwa, adalah pelik mengapa isu hudud ditimbulkan sekarang dan tidak pernah dilakukan ketika Pas pernah berada dalam kerajaan sebelum ini.

“Isu hudud ini muncul bila dia (Pas) tak ada kuasa (kerajaan) tapi masa mereka memerintah bahkan waktu menjadi Menteri Undang-Undang tak bawa pun dalam parlimen pada waktu itu.

“Ini (isu hudud) adalah tindakan terdesak (Hadi) yang diulang cakap-cakap seperti di tahun 1980-an,” katanya. – MalaysiaGazette.