Perdana Putra Muhyiddin Yassin Prime Minister Office announcement
Pejabat Perdana Menteri

JOHOR BAHRU – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berpendapat isu membabitkan Johor dan Singapura boleh diselesaikan dengan meminum teh, tetapi isu Johor dengan Persekutuan sebaliknya lebih rumit.

Sultan Johor bertitah, Johor dan Singapura merupakan sahabat baik secara turun-temurun sejak zaman Lee Kuan Yew.

“Kami selalu minum teh dan makan bersama. Seperti yang beta katakan, banyak benda selesai selepas secawan teh,” titah baginda semasa menerima wawancara Sinchew Daily.

Mengenai isu dengan Persekutuan pula, Sultan Ibrahim mengibaratkan bahawa baginda berdepan “fobia surat” ketika berkomunikasi dengan Putrajaya.

“Untuk Putrajaya, beta perlu menulis surat dan saling membalas surat tanpa hentinya. Sampai bila boleh akhiri fobia surat ini?”

Sultan Ibrahim bertitah, selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2018, beliau telah menarik balik rayuan terhadap kes Batu Puteh semasa baginda sedang bercuti.

Baginda bertitah, kejadian itu secara jelas melanggar Perlembagaan Johor dan menyebabkan pulau itu menjadi milik Singapura.

Sultan Ibrahim juga menegaskan Perlembagaan Johor adalah sangat teliti kerana mengambil masa 10 tahun untuk dirangka sedangkan Perlembagaan Persekutuan hanya menggunakan setahun.

“Tanah Johor tidak boleh hilang walaupun satu inci. Kalau berlaku, pemerintah akan dilihat sebagai mengkhianati negara.

“Beliau telah melakukannya dan dalam keadaan tidak memaklumkan Johor,” titah baginda.

Sementara itu, dalam laporan yang diterbitkan Sinchew Daily pada Sabtu, Sultan Johor bertitah China merupakan pelabur yang boleh dipercayai dan hubungan dengan China adalah penting buat Malaysia. – MalaysiaGazette