KUALA LUMPUR – Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menghilangkan diri selama beberapa tahun sejak 2018 kemungkinan menjadi saksi terakhir dalam perbicaraan kes penyelewengan dana syarikat itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, pihaknya belum memutuskan untuk memanggil Jasmine sebagai saksi dan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah juga belum membuat keputusan mengenai perkara itu.
Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon supaya pemeriksaan balas terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz ditangguhkan.
Ini kerana pasukan pembelaan mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan bekas Pengarah Urusan Ambank, Ashok Ramamurthy.
“Saya juga ingin memanggil semula bekas Pengarah Bukan Eksekutif Ambank, Cheah Tek Kuang kerana dalam pemeriksaan balas yang saya buat sebelum ini, saya tiada maklumat mengenai Ashok,” katanya.
Ahmad Akram menafikan pihak berkuasa merekodkan kenyataan daripada Ashok.
Ketika pemeriksaan, Zeti mendakwa beliau tidak pernah berhubungan dengan Ashok atau lelaki berkenaan pernah memberikan perincian berkaitan akaun Najib kepadanya.
Hakim kemudian membenarkan permohonan penangguhan pemeriksaan balas terhadap Zeti dan mengarahkan seorang penganalisis dari BNM dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan esok.
Prosiding akan bersambung esok. – MalaysiaGazette