KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Antarabangsa Kuala Lumpur (IPGKBA) melancarkan Jihad Pendidikan dalam usaha menjaga kebajikan bakal pendidik asnaf mendapat menimba ilmu.
Pengerusinya, Tan Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, sumbangan diberikan kepada gerobok rezeki IPGKBA sebanyak RM18,000 dan sumbangan kewangan RM3,000 kepada Surau Al-Ghazali IPGKBA dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM103,000.
Jelas beliau, pihaknya telah menyumbang kira-kira RM500,000 bagi Program Jihad Pendidikan PPZ-MAIWP melibatkan lima institusi pengajian tinggi di Wilayah Persekutuan.
Ia melibatkan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Labuan dan terbaharu Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA).
“Semoga sumbangan pada hari ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan sedikit beban sekali gus meningkatkan kecemerlangan akademik para pelajar.
“Saya berharap agar program ini menjadi satu wadah yang akan memupuk dan melahirkan lebih ramal generasi yang celik dan cakna akan kewajipan berzakat.
“Selain itu, ia menjadi manifestasi peranan semua sebagai penjamin kepada asnaf dan mereka yang memerlukan supaya bantuan dan keperluan sentiasa mencukupi demi kelangsungan hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Program Jihad Pendidikan PPZ-MAIWP di IPGKBA di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dr. Mohamad Isa Azis dan Pengarah IPGKBA, Datin Dr. Bushro Ali.
Abdul Aziz memberitahu, PPZ-MAIWP melalui dana pemegang wakalah turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada 200 pelajar asnaf berjumlah RM40,000 serta tajaan makanan kepada 100 pelajar asnaf bernilai RM42,000.
“Program bersama institusi pengajian tinggi juga bertujuan untuk menunjukkan kitaran daripada pembayar zakat kepada penerima manfaat zakat yang berhak termasuklah bantuan pendidikan kepada para pelajar universiti.
“Ia untuk memberi kesedaran berzakat dan meningkatkan kutipan zakat khususnya melalui potongan gaji zakat dalam kalangan warga pendidik,” katanya. – MalaysiaGazette