Johan Jaafar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) didesak supaya tidak bertindak seolah-olah sebagai ‘Big Brother’ (Abang Besar) dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian.

Lapan tokoh media tampil melahirkan kebimbangan mengenai tindakan SKMM yang telah memanggil pengamal media untuk memberi penjelasan mengenai kandungan yang mereka bawa menerusi portal berita dan laman dalam talian.

Lebih membimbangkang menurutnya, kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ adalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.

“Kami sama sekali tidak dapat menerima sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti SKMM untuk menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian.

“Kita telah melihat bagaimana kerajaan-kerajaan terdahulu, walaupun hanya kerana aduan kecil daripada orang ramai atau pihak elit pemerintah, telah diambil tindakan dengan pantas walaupun tindakan seumpama itu tidak perlu sama sekali,” katanya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar dan Datuk A. Kadir Jasin, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.

Turut bersama pemilik Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd., Datuk Hussamuddin Yaacob dan bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang.

Juga melahirkan kebimbangan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Yong Soo Heong dan Datuk Zakaria A. Wahab serta bekas wartawan terkemuka yang kini pemerhati politik Dr G Manimaran.

Katanya, Kerajaan pada hari ini dipilih atas janji untuk membolehkan pengaliran maklumat yang bebas dan untuk menjamin kebebasan media.

Aduan daripada para pengamal media bahawa laman web mereka telah disekat semakin meningkat dan ia adalah trend tidak sihat yang mesti dihentikan serta merta.

Mereka percaya badan pengawal selia terbabit mempunyai keutamaan yang lain dan oleh itu menyekat laman web bukanlah salah satu daripadanya.

“Walaupun kami memahami internet telah menjadi pencetus kebencian dan penyebar maklumat yang salah namun kami percaya pengamal media adalah individu yang berdisiplin dipandu oleh profesionalisme dan etika.

“Alam media sosial yang tidak terkawal boleh difahami sebagai masalah. Kami mengakui bahawa maklumat salah dan berita palsu sudah sampai pada tahap krisis.

“Bagaimanapun kami juga percaya peranan yang harus dimainkan oleh media bebas di negara ini. Kerajaan mesti memastikan ekosistem yang betul dan persekitaran yang kondusif untuk pengamal media bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast