Dr.Sathia Prakash Nadarajan

KUALA LUMPUR – Persatuan Eksekutif India Selangor (PEIS) mahu unit pembangunan khas seperti Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) diwujudkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Pengerusinya, Dr. Sathia Prakash Nadarajan berkata, unit itu boleh memperkasa dan membangunkan taraf sosio ekonomi komuniti India di negeri tersebut.

“Negeri ini (Selangor) sebuah negeri yang menjadi ‘role model’ untuk negeri lain dalam segala sektor yang mengecapi pembangunan pesat sehingga menjadi penyumbang utama untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Namun, masyarakat India di negeri ini masih dalam kemiskinan dan ketinggalan ke belakang dalam beberapa sektor terutama sosioekonomi yang memerlukan fokus lebih bersasar dan segera membawa mereka keluar dari dibelenggu kemiskinan.

“Oleh demikian adalah menjadi harapan PEIS agar satu unit khas menyerupai MITRA di peringkat Pusat diwujudkan di Selangor khusus memfokus dan memajukan masyarakat India,” katanya pada majlis pelancaran PEIS, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR Pusat berkata, PEIS ditubuhkan dengan kerjasama gabungan sembilan ketua cabang PKR berbangsa India di Selangor.

Katanya, adalah tidak mudah untuk mengumpul dan menyatukan pemimpin dan masyarakat India di bawah satu bumbung.

“Kebiasaannya, NGO-NGO dalam kalangan masyarakat India hanya akan bersatu dan berkumpul sekiranya mereka mengharapkan sesuatu.

“Namun, NGO PEIS yang diwujudkan oleh kami sekarang adalah cetusan idea 12 tahun lalu yang direalisasikan hari ini dan jauh berbeza,” ujar beliau.

Katanya, misi PIES adalah mahu membantu memperkasa sosioekonomi masyarakat India daripada dibelenggu kemiskinan di negeri ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast