KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui
Program Harapan Kasih telah menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada salah
seorang pelajar yang telah dipilih sebagai anak angkat PTPTN di bawah Skim Anak
Angkat Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
Program Harapan Kasih yang berkonsepkan ziarah dan ramah mesra adalah merupakan salah satu program kemasyarakatan PTPTN yang bertujuan untuk memberi motivasi, pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam mengubah kehidupan diri dan keluarga.
Sumbangan bantuan persekolahan dan simpanan dalam Simpan SSPN Prime telah disampaikan oleh Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Faisalludin Mohamat Yusuff dan Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar.
Majlis penyerahan sumbangan itu telah diadakan di kediaman penerima bantuan itu, Muhammad Zaheer Norhasdi di Rawang, Selangor.
Muhammad Zaheer, 14, merupakan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.
Pelajar ini adalah salah seorang yang terpilih menerima penajaan elaun persekolahan secara bulanan sebanyak RM100 selama lima tahun melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,000.
Manakala sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime secara one off turut diberikan berjumlah RM200.
Selain itu, pelajar turut menerima sebuah peranti Lenovo M8 untuk memudahkan
pembelajaran beliau dan bakul makanan berupa barangan keperluan harian bagi
membantu meringankan beban kewangan keluarga ini.
Dalam pada itu, YPM juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan berupa wang tunai bernilai RM500 dan bakul makanan pada program yang sama.
Melalui Skim Anak Angkat YPM, PTPTN telah memberi penajaan elaun persekolahan dan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime secara one off kepada 20 orang anak angkat terpilih berumur 13 tahun selama lima tahun mulai tahun 2022 hingga tahun 2026 bagi persekolahan Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5 melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM124,000 melalui peruntukan zakat PTPTN di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Sementara itu, Norliza berkata, PTPTN amat prihatin dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar dan turut menjejaskan kualiti kehidupan masyarakat.
Tambah beliau, pelbagai inisiatif telah diatur bagi meringankan beban golongan yang memerlukan dan menyantuni segenap lapisan masyarakat.,
“Pada hari ini tumpuan kami adalah untuk memastikan pelajar asnaf dapat meneruskan pengajian mereka dengan bantuan sumbangan daripada PTPTN.
“Diharapkan melalui program ini masalah keciciran persekolahan akibat kemiskinan dapat dikurangkan melalui akses pendidikan yang sama rata,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, PTPTN menyambut baik kerjasama yang dijalinkan bersama YPM bagi
menjayakan program pada hari ini dan pihaknya juga turut mengalu-alukan dan proaktif
menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengadakan program-program
CSR untuk memastikan bantuan yang diberikan adalah merangkumi pelbagai golongan
sasar.
Dalam pada itu, Faisalludin berkata, YPM amat berbesar hati dengan jalinan kerjasama antara YPM dan PTPTN dan usaha sebegini jelas menunjukkan keprihatinan PTPTN terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
Katanya, MARA melalui YPM sentiasa mengalu-alukan mana-mana agensi, badan-badan korporat dan individu untuk bersama-sama YPM melaksanakan CSR pendidikan demi kemajuan pendidikan anak-anak pelajar di negara ini.
“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR terutamanya dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” ujarnya. – MalaysiaGazette