Pegawai JAS Kedah menjalankan siasatan di lokasi premis syarikat pengeluaran makanan pada Februari lalu. Gambar ihsan- JAS Kedah

BALING – Sebuah syarikat pengeluaran bihun, laksa dan mi didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana mencemarkan alam sekitar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, denda itu diputuskan Hakim Najwa Che Mat selepas pengurus syarikat mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan.

Syarikat itu didapati membuang efluen perindustrian melebihi had yang dibenarkan di bawah Peraturan 11(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Berdasarkan fakta kes syarikat berkenaan membuang efluen perindustrian ke longkang awam yang mengandungi minya dak geris dengan kepekatan 1290 mg/L melebihi had 1.0 mg/L sepertimana yang ditetapkan di dalam Standard A, Jadual Kelima di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling(Efluen Perindustrian) 2009.

“Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Kuala Ketil antara jam 9.24 pagi hingga 10.10 pagi pada 22 Februari lalu.

“Kesalahan itu dibaca dibawah Peraturan 11(1)(a) Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 32, Peraturan sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, semasa rayuan, pengurus syarikat yang tidak diwakili peguam memohon hakim memberikan hukuman ringan, selain mendakwa pihaknya sedang mengambil langkah untuk menangani isu tersebut.

“Bagaimanapun ,Pegawai Pendakwa JAS Kedah menekankan bahawa pencemaran alam sekitar merupakan suatu kesalahan yang serius dan melibatkan kepentingan awam.

“Justeru itu, beliau memohon hukuman setimpal diberikan kepada syarikat berkenaan sebagai pengajaran agar pihak syarikat sentiasa memastikan sistem pengolahan efluen perindustrian sentiasa dalam keadaan baik pada setiap masa bagi mengelakkan perkara sama berulang kerana ia berpotensi mencemarkan alam sekitar khususnya pencemaran air,” kata Sharifah Zakiah. – MalaysiaGazette