KUALA LUMPUR – DAP akan terus berhadapan dengan pemulauan orang Melayu jika parti itu masih was-was untuk melakukan perubahan.
Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, terdapat dua agenda parti itu yang menyebabkan orang Melayu trauma dan masih tidak boleh menerima DAP.
“Sepanjang pemerhatian saya secara langsung dan tak langsung, ketika duduk bersembang dengan kawan-kawan serta ahli UMNO sendiri, saya dapat rasakan orang Melayu sejak puluhan tahun lalu tak boleh, masih trauma dengan sentimen negara sekular dan Malaysia Malaysian yang diperjuangkan oleh DAP.
“Bila saya bersembang dengan pengundi Melayu di Selangor ketika PRN lepas dan Johor ketika berkempen majoriti mereka cakap masih tak boleh nak terima dengan mudah cara politik DAP yang bagi mereka masih terikat dengan tanggapan parti itu adalah parti totok orang Cina,” kata Nur Jazlan.
Menurut beliau, orang Melayu berangapan agenda sekular dalam DAP bertentangan sama sekali dengan syariat Islam dan Melayu.
Katanya, tidak ada cara lain untuk menyakinkan orang Melayu bahawa DAP sudah berbeza dari sebelumnya iaitu dengan menggugurkan agenda negara sekular dan slogan Malaysia Malaysian dalam perlembagaan parti.
“Jadi sebab itulah orang Melayu macam letak batu sempadan besar nak terima atau sokong DAP walaupun sudah bekerjasama dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jadi selepas mendalami segala luahan perasaan orang Melayu bagi saya, jika betul DAP benar-benar mengharapkan sokongan orang Melayu melalui kerjasama dengan UMNO kali ini mereka juga perlu berani membuat perubahan besar untuk capai kejayaan besar pada PRU16 nanti,” katanya.
Nur Jazlan menambah, UMNO turut menerima tempias untuk ditolak orang Melayu sekiranya DAP tidak melakukan perubahan.
Katanya, biarpun sebelum ini sudah ada orang Melayu yang jadi ahli, pemimpin malah jadi wakil rakyat DAP namun majoriti orang Melayu melihat ia sekadar untuk ‘menghalalkan’ parti itu di mata orang Melayu.
Katanya, jika tidak berlaku sebarang perubahan, beliau menjangakan situasi besar yang akan dihadapi ialah gelombang sokongan orang Melayu terhadap Pas yang menjadi lebih kuat pada PRU16 dan masa depan.
“Sekarang ini orang Melayu hanya ada dua pilihan sama ada beralih sokongan secara total kepada Pas atau terima kembali UMNO sebagai wadah perjuangan mereka.
“Sebab itulah semua pihak termasuk sebelah DAP juga perlu bantu untuk pulihkan UMNO semula dan kembali menjadi parti utama di negara seperti sebelum tahun 2018,” katanya.
Nur Jazlan berkata, DAP perlu mencontohi UMNO yang telah membuat pengorbanan besar apabila mengetepikan seketika prinsip dan bersetuju bekerjasama dengan DAP yang merupakan dalam Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan negara dapat dimuktamadkan selepas PRU15.
Katanya, pengorbanan tersebut menyebabkan UMNO membayar harga yang mahal dalam bentuk kecaman kononnya bersekongkol dengan sebuah parti atau pakatan yang ekstrim.- MalaysiaGazette