KUALA LUMPUR – Seramai 200 pemuisi dari Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, China dan Malaysia akan menyertai Konvensyen Pemuisi Sedunia (Konpes) kali kedua di Bachok, Kelantan pada 7 hingga 9 September depan.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata, acara itu akan dipenuhi dengan deklamasi puisi serta persembahan kesenian tradisional.

Konpes akan memperkenalkan pemuisi daripada pelbagai peringkat umur dan kesemua mereka akan menyampaikan puisi dalam bahasa Melayu.

Turut diadakan ialah persembahan syair, monolog, tari puisi, dekon serta persembahan dikir barat, wayang kulit, makyong, tarian kebudayaan Melayu, Cina dan Siam Peranakan.

Program lain ialah diskusi buku karya R. Hamkama, deklamasi puisi remaja, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Radzuan berkata, konvensyen yang bertemakan Kemanusiaan Sejagat itu turut disertai oleh Penaung Pemuisi, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, dua Sasterawan Negara iaitu Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Datuk Dr. Zurinah Hassan, Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Datuk Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob dan Datuk A.
Aziz Deraman.

Katanya, antara pembentang kertas kerja ialah Profesor Madya Drs. Siamir Marulafau (Indonesia), Dr. Suraiya Chapakiya (Thailand), Isa Kamari (Singapura), Zefri Arif (Brunei) dan Zhou Yahui (China).

Konpes kedua anjuran bersama Pemuisi, UMW Holdings, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Malaysia Kelantan akan dirasmikan oleh Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 7 September. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast