KUALA LUMPUR – Berpengalaman bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) tidak memadai sebaliknya skuad Bawah 23 Tahun (B-23) perlu mendapatkan minit permainan secukupnya untuk memastikan persembahan terbaik di kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand, minggu depan.
Ketua jurulatih B-23, E. Elavarasan, berkata minit permainan amat penting dalam memastikan skuad Harimau Muda mampu memberi tentangan sengit dalam saingan peringkat kumpulan selepas diundi dalam Kumpulan H bersama pasukan tuan rumah,Thailand, Bangladesh dan Filipina.
“Paling penting minit bermain, sebab kalau pemain beraksi dalam liga hanya 15 minit, datang sini mereka perlu bermain selama 90 minit, banyak perbezaan. Kalau pemain ada masa yang banyak ketika main dalam kelab bermakna banyak pengalaman.
“Yang membezakan bukan kualiti, tetapi adalah minit permainan dan tahap fizikal, sebab tengok pasukan Vietnam agresif dan solid kerana persiapannya agak lama,” katanya kepada pemberita pada hari pertama sesi latihan menjelang kelayakan Piala Asia B-23 2024, di sini, hari ini.
Elavarasan berkata beliau perlu segera membentuk keserasian skuadnya memandangkan terdapat penambahan pemain dilakukan dalam kem latihan.
Beliau, bagaimanapun, menyifatkan barisan skuadnya kali ini adalah yang terbaik dengan kehadiran dua pemain berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine, selain sembilan pemain skuad Sukan SEA 2023 yang tidak beraksi pada Kejohanan B-23 AFF, antaranya Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.
“Kita ada satu skuad yang consider yang mantap untuk kelayakan ini … Dengan kehadiran Luqman dan Nooa dan pemain yang ada pengalaman di Liga Super mungkin akan menambah prestasi pasukan kita.
“Dalam aksi kumpulan, kita ada peluang yang sama untuk pergi ke sekurang-kurangnya pusingan kedua,” katanya.
Pada kempen kelayakan itu, Malaysia akan memulakan saingan menentang Bangladesh pada 6 Sept, diikuti Filipina (9 Sept) sebelum berdepan Thailand pada 12 Sept dengan kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.
Kesemua juara kumpulan bersama empat naib juara kumpulan terbaik akan layak ke Piala Asia B-23 2024 di Doha, Qatar yang turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Minggu lepas, Harimau Muda menamatkan Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2023 di tempat keempat, sekali gus gagal mencapai sasaran final yang ditetapkan barisan pengurusan. – BERNAMA