KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan menganjurkan Persidangan MyMudah 2023 Peringkat Negeri Johor pada 4 September 2023.

Persidangan yang julung kali akan diadakan di negeri Johor ini bertujuan menyokong dan mempromosi program Malaysia Mudah atau MyMudah dalam membantu pihak industri memudahcara urusan menjalankan perniagaan selain menambahbaik kawal selia di pihak kerajaan.

Berikutan krisis Covid-19, MyMudah telah diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2020 yang membolehkan komuniti perniagaan mengemukakan isu berkaitan beban peraturan dan birokrasi yang dihadapi.

Inisiatif ini merupakan salah satu bantuan kerajaan berbentuk bukan fiskal yang telah mendapat sambutan dan diperluaskan di peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagi menyebarluaskan pelaksanaan inisiatif MyMudah di peringkat negeri, forum bertemakan “Maju Johor, Johor Produktif” akan turut diadakan sebagai intipati kepada persidangan itu nanti.

Forum ini bakal membariskan panel yang berpengalaman dari Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) SUK Johor, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Senai Airport City Sdn Bhd.

Dijangkakan seramai 500 peserta akan turut serta ke persidangan ini yang melibatkan pegawai-pegawai kerajaan negeri, persekutuan, persatuan perniagaan serta pemain industri. Bagi peserta yang berminat untuk menyertai persidangan ini, daftar sekarang di https://forms.gle/HvRTPvVCzw7U39KV6.

Melalui persidangan ini, diharap kerajaan negeri Johor dapat meningkatkan kecekapan penyampaian peraturan dan seterusnya melonjakkan produktiviti dan daya saing negeri. – MalaysiaGazette