Sebutir bom mortar ditemukan di kawasan semak di Taman Tanjung Minyak, Melaka petang tadi.

MELAKA – Seorang wanita dikejutkan dengan penemuan sebutir bom mortar di kawasan semak bersebelahan rumah adiknya ketika mahu mencari rebung di Taman Tanjung Minyak, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan penemuan objek itu pada pukul 3.15 petang dari Balai Polis Tanjung Minyak.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati wanita berusia 32 tahun itu bercuti ke rumah adik perempuannya untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibu dan melakukan aktiviti memasak di luar rumah.

“Kira-kira pukul 3.05 petang, ketika mencari buluh rebung untuk masakan, dia terkejut apabila menjumpai objek yang menyerupai bom di kawasan semak di bawah kabel pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), kira-kira 30 meter dari rumah.

“Kemudian sekitar 5.30 petang, pegawai dan anggota persenjataan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bergegas ke lokasi dan hasil pencarian menyeluruh di sekitar kawasan tidak menjumpai objek lain yang mencurigakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati objek yang dilaporkan adalah sebutir bom jenis mortar 60 milimeter (mm) yang sudah berkarat dan dipercayai telah dilancarkan.

“Ukuran panjang objek adalah 30 sentimeter (cm), ukurlilit 20 cm dan diameter 60 mm dan disahkan tidak mengandungi bahan letupan.

“Ia kemudian dibawa balik ke pangkalan untuk tindakan lanjut susulan kawasan tersebut tidak sesuai untuk melupuskan barang kes,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast