Peserta XPDC Royal Belum mengibar Jalur Gemilang di kawasan air terjun.

GERIK – Terpanggil dengan semangat kemerdekaan yang menebal, seramai 26 warga Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya telah menjayakan sebuah program amal menyantuni masyarakat orang asli di Royal Belum, Perak, yang dinamai “XPDC Royal Belum.

Para peserta yang terdiri daripada kakitangan akademik dan sokongan fakulti telah meluangkan masa selama tiga hari dan dua malam untuk ekspedisi ini, yang turut meliputi aktiviti fizikal dan rekreasi.

Tujuan utama program ini adalah bagi mengeratkan perpaduan dalam kalangan warga Fakulti Kejuruteraan melalui program berbentuk ekspedisi, yang turut memuatkan aktiviti berziarah ke perkampungan orang asli di Royal Belum,” kata Mohd Ridzal Abdul Samat yang merupakan pengarah program.

Peserta XPDC Royal Belum menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kuala Klewang.

Menurutnya lagi, aktiviti menyantuni komuniti terpinggir ini bukan sahaja bertujuan bagimeringankan beban mereka melalui sumbangan yang diberi, malah memberi ruang kepada peserta ekspedisi untuk memahami cabaran dan permasalahan yang dihadapi mereka secara dekat.

“Mungkin kehadiran kami tidak mampu menyelesaikan kesemua masalah yang menghantui mereka, namun sekurang-kurangnya kami cuba menjadi pengantara kepada hasrat yang ingin disampaikan mereka,” kata Mohd Ridzal lagi.

Selain pemberian sumbangan kepada penduduk Kampung Klewang, para peserta berpeluang berinteraksi dengan Tok Batin, yang antara lainnya berhasrat melihat terdapatnya kesinambungan dalam bentuk bantuan yang diberi.

“Mereka amat mengharapkan agar kita dapat membantu dari segi pendidikan jarak jauh secara maya, memandangkan sudah pun terdapatnya prasarana perkhidmatan internet di situ,” kata Mohd Rizuwan Mahmad, salah seorang peserta ekspedisi.

“Harapan saya agar para peserta mampu menjiwai semangat kemerdekaan yang sebenar melalui penyertaan ekspedisi ini, dengan melihat sendiri bagaimana peranan kita boleh digembleng bagi membantu semua pihak dalam mengecapi kemajuan negara,” kata Mohd Ridzal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast