Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto IQBAL BASRI, 17 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menasihatkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya segera menyelesaikan masalah sampah di Semporna, Sabah.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, hanya Perdana Menteri sahaja boleh menegur Presiden Warisan itu yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“G57 konsisten mahu Mohd Shafie letak jawatan, kita akan tulis surat, kita akan hantar kepada Perdana Menteri supaya nasihatkan Shafie beri tumpuan sepenuhnya kepada Semporna.

“Kita berharap Perdana Menteri dapat menasihati Mohd Shafie supaya jalankan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dengan baik.

“Bagi kami, lebih baik Shafie Apdal letak jawatan, isu sampah begitu kecil kamu tak boleh selesai kini jadi besar, kemudian kamu mahu selesaikan Sabah yang begitu besar,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada 23 Ogos lalu, Zulkarnain mendesak Mohd Shafie meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana didakwa gagal menguruskan tahap kebersihan dan keselamatan pengunjung ke Semporna.

Zulkarnain mendakwa, ketidakupayaan Mohd Shafie menyebabkan pemain industri dan peniaga kecil-kecilan bakal terjejas dek kerana amaran notis merah oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).

Dalam pada itu, Mohd Shafie tidak boleh lagi memberi alasan kononnya tidak mempunyai peruntukan kerana mereka wakil Warisan di Sabah dalam blok pembangkang.

“Kalau ada masalah sampah sebagai wakil rakyat, paling mudah pergi ke majlis daerah, tanya pegawai kerajaan untuk menyelesaikan masalah itu.

“Kalau mereka menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan baik, isu sampah ini takkan timbul,” katanya.

Zulkarnain turut mempersoalkan Mohd Shafie kerana masih gagal membawa isu kebersihan dan keselamatan pelancongan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Ada tak mereka bangkitkan isu sampah dan kemudahan infrastruktur lain dalam DUN Sabah. Harus diingat Shafie Apdal adalah ahli Parlimen kerajaan.

“Kenapa tidak Mohd Shafie ini guna kuasa dia sebagai ahli Parlimen Kerajaan untuk meminta peruntukan terus daripada Kerajaan Persekutuan untuk disalurkan kepada majlis daerah,” katanya.

Malah katanya lagi, jika Mohd Shafie benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat di kawasannya, beliau sepatutnya berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk meminta bantuan.

“Saya cukup yakin kalau wakil rakyat di Parlimen Semporna pergi berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah,  isu ini (sampah) dapat diselesaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast