JOHOR BAHRU- Seorang pemandu bas kilang ditahan polis di Skudai Kiri kira-kira hari ini kerana disyaki melakukan kerja khianat dengan merosakkan poster sebuah parti politik yang dipasang di sekitar kawasan Tampoi.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 62 tahun itu merosakkan poster parti politik itu dengan menggunakan senjata tajam
“Hasil semakan rekod pihak polis mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan dalam serbuan itu juga kami telah membuat rampasan sehelai bendera parti politik, sebilah pisau mata gergaji, sebuah dashboard camera dan sebuah mini bas kilang dan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, katanya.
Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin depan.
Kamarul Zaman juga menasihatkan semua parti dan penyokong menghormati satu sama lain dan tidak merosakkan poster, pemidang, kain rentang atau membuat fitnah sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.- MalaysiaGazette