Gambar hiasan.

RANAU – Polis menyiasat satu video yang tular menerusi media sosial memaparkan kejadian buli melibatkan pelajar dipercayai dari sebuah sekolah menengah di Ranau.

Ketua Polis Daerah Ranau DSP Simiun Lomudin berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes berkenaan pada 3.26 petang semalam dan siasatan sedang dijalankan untuk memastikan tindakan dari sudut perundangan dilaksanakan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video itu dan digesa supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengaibkan mana-mana individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Simiun berkata orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bagi membantu siasatan.

Terdahulu, video berdurasi 5 minit 34 saat itu menunjukkan beberapa pelajar dibuli sekumpulan pelajar lain sehingga tular menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial antaranya Facebook yang mengundang kemarahan netizen.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast