Pemilik pasukan Manchester United, Glazer

LONDON – Pemilik pasukan Manchester United, Glazer membatalkan hasrat untuk jual kelab tersebut buat masa ini, lapor Daily Mail.

Laporan itu menyebut Glazer sedia mengeluarkan United daripada senarai jual dan komited untuk terus menjadi pemilik kelab tersebut.

“Keputusan itu merupakan tamparan hebat buat Sheikh Jassim yang sudah dikatakan berada pada fasa fasa terakhir rundingan untuk menjadi pemilik baharu United,” kata laporan itu.

Bulan lalu laporan media mengatakan Sheikh Jassim akan menjadi pemilik United menjelang Oktober depan.

Pada November 2022, Glazer mengiklankan United untuk dijual namun selepas itu proses penjualan kelab itu menjadi kontroversi.

Ia bermula apabila Glazer beberapa kali menaikkan nilai harga kelab itu daripada £4 billion sehingga ke £6 billion.

Malah ada pembida menarik diri dan mengkritik cara Glazer menjual kelab tersebut dengan menuduh mereka sebagai tidak serius.

Malah Sheikh Jassim telah memintas Sir Jim Ratcliffe sebagai calon pemilik baharu kerana menawarkan harga tertinggi dikatakan melebihi £5 billion.

Malangnya Glazer merasakan nilai £6 billion yang mereka letak terlalu kecil kerana berpendapat dalam tempoh dua tahun lagi mereka yakin nilai kelab itu akan menjadi £10 billion.

Ini kerana faktor peningkatan hak penyiaran, seterusnya faktor format Piala Dunia Kelab FIFA yang berubah kepada 32 kelab selepas ini.

Selain itu Glazer juga yakin Piala Dunia 2026 yang turut dianjurkan di Amerika Syarikat sebagai hos bersama akan membantu menaikkan nilai pasaran kelab mereka. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast