Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) mendedahkan wujud modus operandi’ baru sindiket penipuan kerja yang kembali aktif setelah senyap seketika baru-baru ini.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa sindiket itu kini aktif mengguna pakai tawaran pekerjaan yang lumayan di negara seperti Dubai serta negara maju lain.

Bagaimanapun sejurus selepas mangsa termakan dengan tawaran hebat itu, mereka akan dibawa ke negara Myanmar sebagai buruh paksa untuk melakukan kerja penipuan atas talian.

“Kumpulan sindiket ini diam sekejap lagi-lagi apabila ramai tampil membuat laporan tentang penipuan sindiket pekerjaan ini. Kini mereka sudah mula balik. MHO sendiri telah menerima aduan kira-kira 70 rakyat Malaysia masih terperangkap di Filipina dan Myanmar dengan sebahagiannya mangsa baharu.

“Sindiket ini guna modus operandi baharu dengan tawarkan kerjaya dan gaji cukup lumayan di Dubai walhal semua mangsa ini akan diseludup masuk Myanmar sebagai buruh paksa.

“Mereka ini bukan saja dipaksa melakukan penipuan tetapi dihalang berkomunikasi, dikurung dan dipukul jika tidak mengikut arahan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hishamuddin melahirkan harapan supaya isu ini diberi fokus oleh semua pihak terutamanya dalam kerajaan kerana ianya sudah melibatkan sindiket pemerdagangan manusia, buruh paksa dan jenayah kekerasan.

Kata aktivis dan juga peguam itu, isu penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia bukan sesuatu yang baharu malah sehingga kini sudah ribuan menjadi mangsa namun penyelesaiannya masih tidak kunjung tiba.

“Kita semua perlu bersama-sama tangani perkara ini. Jangan biarkan golongan tidak bertanggungjawab ini bermaharajalela. Mereka ini seperti sudah kebal undang-undang dan boleh lakukan apa sahaja.

“Untuk makluman anda, MHO yang berteraskan hak asasi manusia ini sudah mula berjuang isu berkaitan penipuan kerja dan pemerdagangan sejak bertahun lamanya. Malah kerana isu ini kita bangkitkan ‘all out’ kerajaan berjaya bawa pulang rakyat kita di Kemboja dan Laos pada 2021.

“Sejak itu, sindiket ini sudah mula slow down’ dan tidak begitu agresif namun sejak beberapa bulan mereka kembali dengan lebih berani dengan menawarkan tawaran lumayan, gaji beribu-beribu. Pastinya rakyat kita yang masih terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi akan termakan umpan sedemikian,” ujarnya.

Kata Hishamuddin perkara yang membimbangkan adalah nasib rakyat Malaysia yang terperangkap di utara Myanmar berikutan kerajaannya tidak boleh mengawal wilayah, selain kekangan mendapat kerjasama dan bantuan daripada pihak keselamatan negara itu.

“MHO cadangkan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Luar memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya merayu perdana menteri tampil bantu hapuskan pusat pemerdagangan manusia di Myanmar dengan cara beri tekanan kerana saya tidak nampak ada cara lain boleh dilakukan. Rakyat Malaysia akan tidak selamat di tangan golongan durjana ini,” tegasnya.

Media melaporkan pada 26 Ogos lalu, seorang wanita mendakwa kakaknya dikurung sindiket penipuan pekerjaan di utara Myanmar sejak Julai lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast