Zaid Najib RM42 juta
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengkaji semula dalam kes pemimpin parti dipanggil polis untuk soal siasat berikutan kenyataan yang bersifat pandangan politik.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, kalau pemimpin parti memberi pandangan yang dianggap menghasut oleh kerajaan, polis tiada kerja lain mahu dibuat.

Beliau memberi contoh, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan Lembaga Pengampunan tidak mengikut nilai Islam, itu hanya pandangan pemimpin berkenaan sebagai orang politik.

“Kerajaan kena bertenanglah. Harus faham pandangan politik dengan tuduhan, sebelum mengambil tindakan untuk soal siasat.

“Kalau memberi pandangan pun tidak boleh, mana yang dikatakan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan hak kebebasan bersuara?

“Lagi pun, sebelum ini, iaitu kira-kira 40 tahun lalu lagi, Abdul Hadi selalu kata Perlembagaan Negara tidak ikut Islam, kenapa tidak panggil untuk soal siasat beliau ketika itu?” soalnya menerusi rakaman video yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya.

Hari ini, Abdul Hadi dipanggil Bukit Aman untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram, Muar baru-baru ini.

Presiden Pas itu sepatutnya hadir ke Bukit Aman kelmarin tetapi Ahli Parlimen Bachok yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman memaklumkan Abdul Hadi tidak sihat.

Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, siasatan dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Menurut Zaid, janganlah perkara sekecil itu hendak disiasat kerana baginya pandangan politik tidak boleh diambil tindakan dengan menuduhnya di bawah Akta Hasutan.

“Kita ada kebebasan bersuara. Kalau semua pandangan tidak boleh dan hanya pihak tertentu sahaja yang boleh, itu bukan kebebasan.

“Saya harap, kerajaan hentikanlah daripada menuduh pihak lawan dengan menggunakan kuasa polis.

“Kalau asyik mengongkong rakyat dengan pelbagai kesalahan akta, kerajaan tidak akan mendapat maklum balas daripada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette