Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto MUHD NA’IM,25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Hadi Awang memilih untuk menjawab 19 soalan berkaitan isu 3R (Agama, Bangsa dan Raja) yang dikemukakan pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) Bukit Aman kepada beliau semasa proses merakam keterangan di mahkamah pada Isnin ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sesi rakaman percakapan itu dibuat berikutan kenyataan Presiden pas itu yang didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang jeram di Markas Pas di Bakri, Muar, Johor pada bulan lalu.

Katanya, semasa sesi soal siasat di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut, di sini, Abdul Hadi hanya menjawab lima daripada 24 soalan yang dikemukakan pegawai penyiasat.

“Abdul Hadi memaklumkan kepada pegawai penyiasat USJT JSJ Bukit Aman kami bahawa beliau akan memberi jawapan terhadap baki 24 soalan lagi yang diajukannya itu di mahkamah nanti.

“Beliau sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan Perkhidmatan dan Rangkaian Perkhidmatan,” katanya pada sidang media, di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pejabat Peguam Negara bagi tindakan susulan dan kertas siasatan dijangka lengkap dalam masa seminggu.

“Keputusan sama ada beliau (Abdul Hadi) akan dituduh di mahkamah atau tidak adalah bergantung kepada penilaian pejabat Peguam Negara dan kami, Polis Diraja Malaysia hanya melaksanakan tugas menyiasat dan menguatkuasakan undang-undang,” katanya. -MalaysiaGazette