Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto MUHD NA’IM,25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan yang ditahan dan disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan aset yang didaftarkan atas namanya diperolehi menerusi hasil penyelewengan dana syarikat tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pengakuan itu dibuat Jasmine kepada polis pada proses soal siasat sejak Julai lalu.

Katanya, siasatan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) ke atas wanita itu mendapati syarikat River Dee International SA yang didaftarkan di British Virgin Islands di United Kingdom adalah milik tunggal Jasmine Loo.

Tambah beliau, siasatan lanjut polis dan pengakuan Jasmine mendedahkan bahawa syarikat berkenaan menjalankan perniagaan hartanah dan telah membuka akaun Falcon Private Bank bersama Low Taek Jho atau Jho Low pada November 2012.

“Melalui syarikat River Dee International SA, Jasmine Loo yang dibayar gaji bulanan RM40,000 sebagai penasihat Undang-undang 1MDB telah menerima sebanyak lima transaksi daripada beberapa entiti dan syarikat membabitkan wang tunai berjumlah AS$16,074,975 (RM74,824,470).

“Ianya membabitkan pembelian satu lot hartanah di New York bernilai AS$4,610,000; pembelian satu lot hartanah di London bernilai AS$2,792,282.93; pelaburan di Amerika Syarikat dan AS$ 5 juta telah dibekukan oleh Department of Justice (DOJ),” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan,m Jasmine Loo turut mengakui bahawa beliau telah menerima hadiah berupa jam tangan mewah jenama Richard Mille, jam tangan mewah jenama Harry Winston dan pelbagai beg tangan mewah berjenama Birkin.

Selain itu katanya, siasatan polis turut mengenalpasti aset dan wang milik Jasmine Loo merupakan hasil daripada dana 1MDB yang dilabur di Singapura.

“Aset ini adalah berbentuk satu akaun di Credit Suisse AG, Singapura iaitu milik syarikat HeartLand Global Ltd, baki S$4 juta; satu akaun di BSI Bank, Singapura milik syarikat Springbrook Global, (baki belum dikenalpasti) dan dua unit kondominium mewah yang dibeli di republik itu.

“Satu Akuan Berkanun (SD) telah ditandangani pada 23 Ogos lalu oleh Jasmine Loo untuk mengembalikan kesemua aset yang ada di atas namanya kepada syarikat 1MDB dan pasukan kami mendapati SD berkenaan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Jenayah Komersil (CAD) Singapura, pada 30 Ogos lalu,” ujarnya.

Ayob Khan berkata, untuk siasatan di Amerika Syarikat, pihaknya dijangka memperoleh beberapa aset dan hartanah hasil siasatan lanjut ke atas wanita itu selepas ini.

Katanya, ia membabitkan sebuah kondominium bernilai lebih RM21 juta; sembilan lukisan bernilai RM8,112,533 termasuk satu lukisan yang disimpan di Switzerland manakala lapan lagi di New York dan wang tunai berjumlah RM23.22 juta dalam akaun simpanan bank.

“Manakala di London, pihak polis menjangkakan akan mendapatkan aset iaitu sebuah kondominium bernilai RM12,967,361.

“Jumlah nilai keseluruhan harta dan aset yang kami rampas setakat ini daripada Jasmine Loo adalah berjumlah RM93,266, 291 berdasarkan nilai semasa pembelian pada tahun 2013 dan pada masa ini ianya dijangka melebihi nilai pasaran semasa pembelian,” kata beliau. – MalaysiaGazette