MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka mencari ibu kandung atau waris kepada bayi perempuan yang masih bernyawa ditemui di dalam tong sampah berhampiran Flat Langkawi, Pantai Emas Klebang, di sini, bulan lalu.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah, Siti Aishah Mohd Noor berkata, bayi yang baru dilahirkan dalam keadaan masih bertali pusat itu telah diselamatkan seperti mana peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak- kanak 2001.
“Bayi berkenaan diperintahkan diletakkan pada orang yang layak dan sesuai serta JKM juga menerima kebenaran mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 untuk melakukan siaran akhbar.
“Justeru, JKM sedang mencari waris kepada bayi itu untuk tindakan lanjut dan waris atau kenalan serta orang awam yang mengenali ibu kandung bayi boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak Daerah Melaka Tengah di talian 06-3333333,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, bayi berkenaan yang masih bernyawa ditemui kira-kira 10.30 malam 23 Ogos lalu ditinggalkan dalam keadaan masih bertali pusat dan dibalut menggunakan tuala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, kejadian disedari oleh seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang terdengar suara mencurigakan dari arah tong sampah berkenaan.
Bayi tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum dihantar ke wad penjagaan rapi Hospital Melaka. – MalaysiaGazette