Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini bersetuju meluluskan sebahagian daripada 15,000 pekerja asing bagi memenuhi permintaan tiga sektor perniagaan tradisi masyarakat India iaitu kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan itu bagi memberi peluang kepada kaum India negara ini khususnya anak muda untuk bekerja dalam sektor berkenaan.

Untuk itu, beliau mengarahkan Kementerian Sumber Manusia untuk menyediakan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) bagi memastikan bekalan tenaga kerja dapat diisi oleh kaum berkenaan.

“Jadi kita bagi kelulusan oleh kerana kedai gunting (rambut) minta juga, saya bagi (Menteri Sumber Manusia) V Sivakumar bagilah sikit (pekerja asing) termasuk restoran. Tetapi saya tak mahu bagi penuh sebab saya rasa perlu kita cari jalan biar melalui TVET atau modal TEKUN. Kita cari jalan bagi modal (buat perniagaan).

“Bagi anak-anai India pun, bagi mereka latihan sebab sekarang orang muda mereka bukan mahu gunting macam dulu. Sekarang kita bagi latihan dan saya ingat melalui TVET baik untuk (bekerja di) restoran, gunting rambut dan tekstil.

“Tapi oleh kerana keperluan segera untuk tiga kategori ini, kita luluskan tetapi tidak sepenuhnya. Saya minta dalam mesyuarat menteri pada Jumaat ini. Menteri akan bawa kertas supaya kita luluskan sebahagian (permintaan) untuk tiga kategori ini.

“Tetapi syaratnya, kementerian akan pastikan kita ada latihan dan insentif untuk pastikan anak kita dilatih serta boleh bekerja,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika berucap melancarkan program Lestari Niaga@Kuala Lumpur di Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Selain itu, Anwar turut meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta bagi menaik taraf gerai penjaja dan kedai makan sekitar Kuala Lumpur.

“Saya telah pastikan untuk kenaikan gerai-gerai termasuk kawasan peniaga India kita tambah peruntukan. Kalau peruntukan tidak cukup daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk tahun ini, kita tambah RM10 juta untuk tujuan itu di seluruh bandar raya,” katanya. – MalaysiaGazette