NILAI – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perlu menyemak keanggotaan bekas ketua sayap parti cabang itu yang didakwa mendera seorang pembantu rumah sebelum menentukan hukuman sesuai.
Beliau berkata, pihaknya perlu mengikut proses dan garis panduan parti sebelum membuat sebarang keputusan apabila terlibat dengan perbuatan jenayah dan salah laku.
“Kalau sahih dia adalah anggota Keadilan, saya perlu semak daftar keanggotaan, sudah tentu parti ada proses yang perlu kita lakukan membabitkan kes seperti ini.
“Dalam masa sama, status dia adalah anggota parti, saya sebagai Setiausaha Agung akan buat semakan dengan daftar induk keanggotaan, kemudian kita angkat atau merangka keputusan atau langkah berikutnya.
“Buat masa sekarang saya belum buat semakan lagi (daftar keahlian),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri merasmikan pusat tahanan kanak-kanak pendatang asing tanpa izin (PATI) di Baitul Mahabbah, Tadika Kemas, Kompleks Kediaman Kakitangan Awam, Nilai, Negeri Sembilan.
Terdahulu, media melaporkan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan dari salah satu cabang PKR didakwa mendera dengan kejam seorang pembantu rumahnya yang juga warga Indonesia.
Mangsa yang kini dilindungi konsulat Indonesia mendakwa antara penderaan yang dialami ialah dia disuruh menanggalkan pakaian sebelum dicurah dengan air panas sebagai hukuman kerana membiarkan pintu pagar terbuka.
Itu hanyalah salah satu daripada dakwaan yang disenaraikan dalam laporan polis yang dibuat mangsa kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pertengahan Ogos lalu.
Dalam pada itu, Saifuddin enggan mencampuri kes tersebut sekiranya laporan dan siasatan telah dijalankan polis.
“Kalau ia sudah jadi satu kes polis, kita biarkan proses itu berjalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette