Pegawai penyiasat USJT D5 JSJ Bukit Aman hadir pada jam 11.15 pagi berhubung kenyataan 3R oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) , Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 04 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia tiba ke Ibu Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut pada jam 9.15 pagi tadi untuk merakam keterangan daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Keterangan itu diambil oleh pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USTJ).

MalaysiaGazette difahamkan, Abdul Hadi sudah tiba lebih awal di pejabat itu menerusi pintu belakang premis berkenaan.

Dalam pada itu media yang berkumpul hadapan premis sejak jam 9 pagi tadi  dimaklumkan oleh Setiausaha Politik Abdul Hadi merangkap Ahli Parlimen Bachok iaitu Mohd Syahir Che Sulaiman bahawa proses merakam keterangan polis akan bermula jam 11.30 pagi ini.

Abdul Hadi dijangka mengadakan sidang media sejurus selepas proses rakaman keterangan selesai.

Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, , Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah mengesahkan siasatan dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Presiden Pas itu dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya yang mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas Pas Bakri, Muar minggu lalu.

Rakaman percakapan Abdul Hadi sepatutnta dibuat pada Sabtu lalu tetapi ditangguhkan atas faktor kesihatan. -MalaysiaGazette