KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia akan memanggil bekas Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan kenyataannya bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya mendapati masih ada pemimpin politik yang menyentuh isu berkaitan 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Diraja) selain terdapat laporan polis dilakukan terhadap bekas Perdana menteri itu.
“Fatwa ini hanya boleh dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri, individu tidak boleh keluar fatwa, hanya daripada mufti.
“Sesiapa yang buat kenyataan berhubung isu 3R jika dibuat laporan polis kita akan panggil dia,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Menurut Ayob Khan, walaupun nasihat dan amaran telah diberikan agar semua pemimpin politik tidak mententuh isu 3R, namun ia masih berlaku.
Sabtu lalu, Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa menyatakan haram hukumnya bagi mereka yang mengundi Suhaizan pada PRK Parlimen Pulai.
Muhyiddin mendakwa, ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.
“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.
“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya ini, ikut fatwa mana. Namun tak boleh (undi) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat) macam soal kenaikan harga barang,” katanya. – MalaysiaGazette