BUKIT MERTAJAM – Polis memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian menunjukkan kemaluannya terhadap seorang wanita di parkir di sebuah restoran makanan segera di Alma di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial berhubung insiden itu yang dimuat naik di twitter ‘MalaysiaVirall’ semalam.
Jelas beliau, siasatan polis mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam di kawasan parkir berhampiran sebuah restoran makanan segera.
“Berdasarkan siasatan suspek datang dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC berwarna merah dengan nombor pendaftaran palsu tiba-tiba menghampiri sebuah kereta dipandu wanita tempatan.
“Suspek kemudian membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluan ke arah wanita terbabit sebelum beredar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, susulan kejadian itu, wanita berkenaan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Yusrashidi Yusof di talian 017 433 6334 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette