Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Syahir Sulaiman bercakap kepada media berhubung kenyataan 3R oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) , Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 04 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah menyelesaikan proses merakam keterangan daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat Pas Pusat di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita, Setiausaha politiknya, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, seorang pegawai berpangkat Asisten Komisioner daripada Bukit Aman telah datang ke pejabat sekitar pukul 11.15 pagi untuk mengambil keterangan Ahli Parlimen Marang itu.

Ia bagi membantu siasatan dakwaan Abdul Hadi telah mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan menerusi satu ceramah politik kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor baru-baru ini.

“Proses merakam percakapan oleh polis daripada Abdul Hadi telah berlangsung selama satu jam itu bermula 11.30 pagi dan  berakhir pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Abdul Hadi telah memberikan sepenuh kerjasama yang baik dan jitu kepada pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sepanjang proses rakaman percakapan itu dijalankan.

“Keterangan diambil kira-kira satu jam, Tuan Guru (Abdul Hadi) juga telah ditemani oleh seorang peguam ketika proses rakaman percakapan berlangsung.

“Tuan Guru (Abdul Hadi) memberikan kerjasama baik dan menjawab setiap soalan yang dikemukakan seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan parti pembangkang itu hari ini.

Terdahulu, pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman tiba di di Pejabat Pas Pusat di sini kira-kira pukul 11.20 pagi.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu  sampai ke pejabat dengan menggunakan pintu belakang premis parti itu pagi tadi dan menunggu untuk pegawai PDRM itu.

Dalam pada itu, Mohd. Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok itu juga memberi pencerahan kepada pemberita mengenai sedikit kekeliruan yang timbul berhubung status kesihatan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Katanya, tidak wujud sebarang cubaan Tok Guru untuk mengelak rakam percakapan polis.

“Saya dapat izin Tok Guru jelaskan ada sedikit kekeliruan mengenai kesihatannya dan cuba mengelak siasatan polis, maka saya nak maklumkan bahawa komunikasi saya dengan Bukit Aman sangat jelas dan pihak PDRM juga sedia maklum tak bercanggah.

“Beliau (Tok Guru) memang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada pagi 2 September lepas Kuala Terenganu menyebabkan kelewatan untuk beliau tiba ke Kuala Lumpur untuk dirakam keterangan oleh polis pada hari berkenaan jika ikutkan jadual asal.

“Jadi pada masa itulah, beliau menjalani rawatan sehingga tiga hingga empat jam di hospital berkenaan barulah bertolak ke Kuala Lumpur. Tuan Guru dalam keadaan sihat tapi pihak media dengar pasal kesihatan itu mungkin sebabkan sedikit kekeliruan Tuan Guru tidak sihat, jadi tidak timbul cuba elak (siasatan polis).

“Rawatan pagi tersebut (Sabtu) berkaitan rawatan antibiotik telah selesai pukul 12 tengahari di hospital, barulah Tok Guru bertolak ke Kuala Lumpur jadi Tok Guru telah terlepas janji temu (rakam keterangan) dengan polis di KL, jadi saya hubungi polis lebih awal pukul 8 pagi Sabtu maklumkan perkara ini dan mendapatkan tarikh baharu (hari ini),” katanya lagi.

Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain berkata, polis telah membuka kertas siasatan terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Abdul Hadi dalam ceramah Perdana PN di Bakri, Johor pada dua hari lalu dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai ajaran Islam. – MalaysiaGazette