Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Calon Pakatan Harapan (PH) P.161 Pulai, Suhaizan pada Ceramah Mega Perpaduan Madani sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Taman Uda, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 03 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – “Saya boleh terima dia tak boleh terima saya tetapi saya tidak boleh terima dia permainkan agama.”

Itu kata calon Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat mengulas tindakan pemimpin Perikatan Nasional (PN) mengeluarkan ‘fatwa politik’ apabila  mengharamkan pengundi memilihnya.

Beliau berkata, penggunaan hukum sedemikian dibimbangi boleh merosakkan minda masyarakat dan hukum Islam tidak boleh dipermainkan.

“Saya tiada masalah jika tidak sokong saya tetapi jika gunakan hukum Allah untuk menghukum haram, pada saya itu keterlaluan.

“Tuan-tuan, saya khuatir perkara melibatkan hukum Islam ini boleh menjadi permainan sekiranya pembangkang terus dengan sikap mereka sebegini,” katanya pada program Ceramah Mega Perpaduan Madani di Taman Rekreasi Taman Uda Utama malam tadi.

Majlis yang sama dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sebelum ini Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada ceramah sempena PRK Parlimen Pulai mengeluarkan ‘fatwa haram’ mengundi Suhaizan.

Dalam ucapan itu, Muhyiddin  melarang pengundi di kawasan itu mengundi calon PH-BN. – MalaysiaGazette