Jais Abdul Karim SPRM kad pengenalan MCW peguam negara kebocoran data peribadi
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendesak agar cadangan berhubung pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan segera untuk memastikan ketelusan serta kebebasan proses pendakwaan.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, langkah itu dapat mengelakkan timbul tuduhan berkaitan konflik kepentingan, berat sebelah atau pendakwaan politik di negara ini.

“Berdasarkan komitmen terpuji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengamalkan prinsip antirasuah dan tata kelola terbaik adalah wajar pengasingan kuasa ini dilaksanakan.

“Ia adalah bagi membuktikan isu ini tidak berterusan dalam reformasi pentadbiran beliau walaupun prosesnya rumit serta melibatkan implikasi kewangan RM300 juta sekali pun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.

Jais menambah, pengguguran kes-kes yang melibatkan ahli politik mungkin ada merit tersendiri namun ia akan tenggelam dalam kontroversi kerana percanggahan kepentingan dalam dwifungsi utama.

Menurut beliau, Peguam Negara dilantik oleh Perdana Menteri sebagai penasihat undang-undang dan Pendakwa Raya kepada kerajaan serta Perdana Menteri.

“Peguam Negara tidak dapat tidak adalah orang Perdana Menteri.

“Persoalannya, bagaimana rakyat boleh memastikan bahawa Peguam Negara tidak memihak kepada ‘orang-orang Perdana Menteri’ yang lain?” soalnya.

Jais turut menyifatkan perkembangan terbaharu dalam kes Ahmad Zahid seolah-olah mengabaikan usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MCW serta hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Segala bukti berkaitan kes ini seperti ‘terbuang’ begitu sahaja,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau berharap pegawai-pegawai SPRM terus teguh menjalankan tugasan menyiasat ahli politik walau apa pun rintangan yang akan dihadapi.

“Buktikan komitmen anda dengan lebih berani menangkap dan menyiasat para perasuah tanpa mengira kedudukan atau pilih bulu di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette