ktiviti meneroka dilakukan dengan berhati-hati.

BALING – Dinding gua kelihatan berombak-ombak umpama lukisan 3D, batu besar berbentuk sireh junjung, formasi stalagmite dan stalaktit berbentuk singa, perahu patah, orang bertapa dan batu yang berbunyi seperti gong serta lampu berwarna-warni menghiasi gua menghidangkan pemandangan yang sungguh mengasyikkan.

Suasana indah mempesona ini disaksikan oleh 25 peserta Terapi Jiwa Alami Gua Sireh, Baling sempena hari kemerdekaan di bawah program anjuran Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaaan (OSHA), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia.

Pengarah program, Norzaliza Ghazali berkata, gua merupakan terowong semula jadi yang terbentuk ke dalam bukit atau gunung disebabkan fenomena alam seperti hakisan air atau angin. terletak di dalam hutan belantara yang menjadi habitat kepada hidupan liar.

“Keunikan gua disebabkan ciri monumen geologi, rupa bumi, landskap, kepelbagaian struktur geologi, batuan, fosil dan mineral yang mempunyai tarikan yang memberi pengalaman dan menjadi aktiviti lasak yang digemari pecinta alam untuk diterokai,” ujarnya.

Seramai 25 peserta menyertai Terapi Jiwa Alami Gua Sireh, Baling sempena hari kemerdekaan

Jelasnya, Gua Sireh terletak di Kampung Padang Cik Mas, Mukim Pulai, Baling, Kedah mempunyai keistimewaan tersendiri. Keluasan gua mencecah 192 meter lebar dan mempunyai ketinggian antara 60-80 meter dihiasi lampu neon yang berwarna-warni menghiasi dinding gua cukup mendamaikan.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, Gua Sireh ini sudah ada masyarakat terawal yang mendiami gua sejak 16,000-17,000 tahun yang lalu, kerana terdapatnya banyak kesan fosil atau kulit kerang dan siput lama yang kelihatan.

“Perjalanan selama dua jam meneroka Gua Sireh yang ditemani tiga penunjuk arah amat menyeronokkan kerana batu besar berbentuk sireh junjung dengan ketinggian lebih kurang 7 meter menyambut kedatangan peserta,” kongsinya.

Semakin jauh menyelusuri laluan berliku mata melekat pada formasi stalagmite dan stalaktit yang menakjubkan. Ia terjadi hasil daripada titisan air bercampur kalsium yang terbentuk jutaan tahun dahulu. Pastinya peluang merakamkan detik terindah dalam Gua Sireh tidak dilepaskan begitu saja.

Sementara itu, peserta, Dr. Azman Md Zain berkata, aktiviti meneroka dilakukan dengan penuh berhati-hati kerana setiap gua mempunyai pelbagai bentuk, arca semula jadi.

“Antaranya stalaktait dan stalagmait yang pelbagai bentuk kejadiannya sememangnya indah memukau namun, harus diingat dalam keseronokan melihat kebesaran Allah, keselamatan perlu diutamakan,” ujarnya.

Bagi menarik pengembara menerokai gua serta menjadi produk pelancongan, pelbagai kemudahan disediakan seperti tangga, laluan, papan tanda, jambatan, dan lampu sekitar gua bagi memudahkan pengunjung memasukinya dan menikmati pemandangan yang sukar ditemui.

Perjalanan selama dua jam meneroka Gua Sireh sungguh menyeronokkan.

Seorang lagi peserta, Nur Farzana Rejab berkata, Malaysia memiliki banyak gua yang menarik untuk diterokai dan setiap gua menghidangkan keunikan dan cabaran tersendiri memandangkan struktur dalamannya yang berbeza.

“Pertama kali memasuki gua ini memberi keterujaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Menakjubkan! saya tidak pernah menyangka bahawa di Baling ada gua seindah ini. Semua terpukau memanjatkan syukur,” luahnya.

Sebelum memulakan kembara, mereka mengkaji terlebih dahulu gua yang ingin dimasuki dengan mendapatkan maklumat termasuk langkah diambil sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini agar ekspedisi penerokaan gua dilakukan dengan lebih terancang dan bersistematik.

Nur Farzana yang baru bertugas di SLCP menyifatkan aktiviti seumpama ini membuatkannya lebih mengenali rakan sekerja di samping menimbulkan keseronokan bekerja, sentiasa ceria, cergas dan cerdas dalam memenuhi tuntutan kerjaya yang semakin mencabar.

“Kembara ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja bersungguh-sungguh dalam membantu memacu kecemerlangan pusat pengajian tercinta. Pengalaman ini terlalu mahal yang akan dikenang seumur hidup” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast