KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melanjutkan perkhidmatan KTM Komuter Utara laluan Padang Rengas –Butterworth – Padang Rengas hingga ke Ipoh yang akan bermula sempena Hari Malaysia pada 16 September ini.
Perkhidmatan KTM Komuter Utara diperkenalkan KTMB sejak tahun 2015 meliputi laluan dari Padang Besar – Butterworth – Padang Besar dan laluan Padang Rengas
– Butterworth – Padang Rengas.
Mengikut rekod, daripada tahun 2015 sehingga Ogos pada tahun ini, seramai 27.5 juta pengguna telah menggunakan perkhidmatan KTM Komuter Utara.
Melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan ini, inisiatif pelanjutan diperkenalkan KTMB bagi memanfaatkan lebih ramai rakyat untuk menggunakan perkhidmatan KTM Komuter di sektor Utara yang dilanjutkan ke stesen Ipoh dengan dua tambahan stesen di antara laluan tersebut iaitu Sungai Siput dan Kuala Kangsar.
“Pihak Kerajaan melalui KTMB mendengar pandangan rakyat yang mahu perkhidmatan tren ini diteruskan melalui lanjutan perkhidmatan komuter di sektor utara yang sebelum ini bermula dan tamat di Stesen Padang Rengas, dan kini dilanjutkan sehingga ke Ipoh dengan dua stesen di antaranya iaitu stesen Kuala Kangsar dan stesen Sungai Siput”, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Menurutnya, lanjutan ini bagi memudahkan perjalanan orang ramai serta penduduk sekitarnya sama ada bagi urusan ke tempat kerja, pelajar yang bersekolah atau yang berada di pusat pengajian tinggi termasuk kepada keluarga yang membawa anak-anak bercuti, membeli belah dan sebagainya.
Katanya lagi, perkhidmatan KTM komuter menawarkan harga tambang yang berpatutan kepada rakyat.
“Dengan lanjutan perkhidmatan ini, manfaat dapat diberikan dari segi fleksibiliti kepada orang ramai terutamanya yang tinggal di Ipoh, Sungai Siput dan Kuala Kangsar untuk menggunakan perkhidmatan komuter sebagai mod pengangkutan utama bagi urusan perjalanan mereka. Secara tidak langsung ianya juga dapat menggalakkan aktiviti pelancongan domestik melalui “rail tourism”, tambah Loke.
Perjalanan dari Stesen Butterworth ke Stesen Ipoh mengambil masa selama 1 jam 56 minit dengan kadar tambang dewasa sebanyak RM12.80 sehala manakala kadar tambang bagi kanak-kanak, warga emas, dan orang kurang upaya sebanyak RM6.40 sehala.
Tren pertama dari Stesen Ipoh ke Stesen Butterworth bermula jam 4.40 pagi.
Manakala, dari Stesen Butterworth ke Stesen Ipoh pada jam 5.30 pagi.
Tren terakhir yang beroperasi dari Stesen Ipoh adalah jam 6.35 petang dan dari Stesen Butterworth jam 7.10 malam.
Penambahbaikan sektor operasi ini menawarkan 20 perkhidmatan sehari berbanding 16 perkhidmatan sebelum ini dengan purata kekerapan pada setiap 60 minit (waktu
puncak) dan setiap 120 minit (luar waktu puncak).