Panglima Tentera Darat ke-29, Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman berucap pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Malaysia ke-29 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, KL. Foto QURRATU AINI, 5 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Beberapa kedudukan tertinggi dalam tampuk kepimpinan Tentera Darat akan menjalani perubahan berikutan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang akan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-22  esok.

Mohamad berkata, antara perubahan yang berlaku adalah kedudukannya sebagai PTD bakal digantikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

“Esok akan berlaku perubahan atas kepimpinan tentera darat. Saya akan serahkan tampuk pemerintahan Tentera Darat kepada Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan yang akan dinaikkan pangkat kepada Jeneral dan sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Darat Ke-30.

“Panglima Medan Barat Tentera Darat, Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim pula akan diangkat sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat yang baharu.

“Kekosongan Panglima Medan Barat Tentera Darat akan diisi oleh Panglima Dua Divisyen, Datuk Muhammad Huzaimi Sabri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-29 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

Dalam istiadat perbarisan tersebut, sebanyak 12 Detasmen merangkumi seramai 46 pegawai dan 1,110 anggota lain-lain pangkat diketuai Pegawai Pemerintah Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Leftenan Kolonel Mohd Azroi sebagai penghargaan buat beliau.

Perbarisan Tentera Darat pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Malaysia ke-29 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, KL. Foto QURRATU AINI, 5 SEPTEMBER 2023.

Perbarisan tersebut turut melibatkan tujuh panji mewakili rejimen dan kor di dalam Tentera Darat Malaysia antaranya RAMD, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Rejimen Semboyan Diraja, Rejimen Askar Jurutera Diraja, Rejimen Artileri Diraja dan Kor Perkhidmatan Diraja.

Terdahulu, Mohammad ditauliah pada Julai 1987 ke dalam Kor RAMD dengan jawatan sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-4 RAMD Sungai Ara, Pulau Pinang.

Selepas memegang beberapa tampuk kepimpinanan sepanjang kariernya beliau akhirnya dilantik menjadi Panglima Tentera Darat pada Mac 2023 mengambil alih pemerintahan Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain yang bersara.

Bermula esok, Mohammad akan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-22 setelah enam bulan menerajui Tentera Darat menggantikan Tan Sri Affendi Buang.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohammad berkata, pengalamannya memerintah tampuk Tentera Darat untuk tempoh singkat sebagai pengalaman cukup bermakna dan besar ertinya yang akan dijadikan asas dalam  tugas PAT selepas ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast