Lokasi kejadian dua pelanggan dan seorang pekerja sebuah bank di Jasin yang cedera terkena serpihan jubin yang dipercayai akibat tembakan tidak disengajakan seorang polis bantuan tengah hari tadi. / Gambar: Sosial Media

JASIN – Polis menahan seorang polis bantuan sebuah syarikat konglomerat yang dipercayai terlepas tembakan dalam sebuah bank, di sini, sehingga mencederakan dua pelanggan dan seorang pekerja bank tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian menerusi panggilan awam kira-kira pada jam 12.55 tengah hari.

“Pusat kawalan daerah (DCC) dimaklumkan seorang polis bantuan sebuah syarikat konglomerat terkemuka telah terlepas tembakan di dalam sebuah bank di Jasin.

“Ketika kejadian, terdapat seorang lelaki iaitu pengawal keselamatan berusia 25 tahun, serta dua wanita masing-masing berumur 46 dan 28 tahun.

“Kesemua mereka masing-masing mengalami luka kecil di telinga, paha dan betis kaki kiri akibat terkena serpihan jubin yang terpelanting akibat tembakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, petang ini.

Tambahnya, siasatan mendapati, polis bantuan berusia 59 tahun terbabit telah datang ke bank terbabit bagi urusan gaji pekerja syarikat konglomerat multinasional itu.

“Bagaimanapun ketika sedang membetulkan kedudukannya, dipercayai berlaku kecuaian apabila jari suspek telah tertarik picu senjata api menyebabkan terlepasnya tembakan.

“Polis turut merampas selaras senapang jenis Vinwinchester Model 1200 GA.2 3/4 Chamber Siri L 1207477 berserta satu kelongsong peluru,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Harith Md Yusof di talian 014-9860357 atau 06-529222 (sambungan 324) atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960. – MalaysiaGazette