KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang daripada lima lelaki yang diburu kerana disyaki merogol seorang wanita secara bergilir-gilir seorang perempuan di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, 30 Ogos lalu.
Lelaki yang berusia 29 tahun itu merupakan abng ipar kepada mangsa ditahan pada jam 9.30 malam Sabtu lalu di hadapan sebuah restoran di Taman Sri Rampai, Wangsa Maju.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, empat lagi suspek yang dipercayai bersubahat dalam kejadian sedang diburu polis.
Menurut Ashari, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian rogol itu pada jam 4.52 pagi 30 Ogos lalu daripada seorang perempuan berumur 26 tahun.
“Hasil siasatan polis mendapati mangsa ketika sedang tidur di dalam bilik telah tersedar dan dapati mulutnya telah ditutup dengan tangan dan dipercayai seramai lima orang lelaki telah berada di dalam bilik tidurnya.
“Mulut mangsa telah ditutup dan tangan mangsa juga telah diikat dengan kain sebelum salah seorang dari suspek telah merogol mangsa manakala salah seorang suspek lagi telah merakam video semasa kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan. hari ini.
Ashari berkata, siasatan polis mendapati suspek yang ditangkap itu merupakan abang ipar telah berhutang dengan salah seorang suspek yang masih bebas.
Katanya, abang ipar mangsa telah menelefon dan meminta mangsa supaya tidak mengunci pintu biliknya sebelum insiden rogol secara bergilir-gilir berlaku terhadap wanita itu.
Tambah beliau, suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula Ahad lalu hingga 8 September ini bagi membantu siasatan polis.
Menurut Ashari, kes disiasat di bawah Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan (Rogol berkumpulan) yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun jika disabitkan kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian ini diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Fadzilah Ahmad Fisal di talian 017-6240252 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette