ALOR GAJAH – “Alhamdulillah, lepas ini tak perlulah lagi saya guna baldi untuk tadah air dari atap yang bocor setiap kali hujan sejak lebih 15 tahun lalu”.
Itu nada gembira dikongsikan Suhaila Jaafar, 37, yang menerima bantuan baik pulih rumah bernilai RM20,000 di bawah Program MyHaus di Kampung Melayu, Machap Baru di sini hari ini.
MyHaus adalah program kerajaan bagi membantu kumpulan sasar mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa sama ada melalui pembinaan semula rumah melibatkan peruntukkan RM80,000 atau membaik pulih dengan kos RM20,000.
Suhaila yang merupakan peniaga makanan tidak menyangka kesengsaraan selama belasan tahun di rumah pusaka arwah datuknya itu yang sudah usang dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira dua bulan.
“Saya hanya mengadu masalah atap bocor dan keadaan rumah pusaka usang ini yang didiami enam sekeluarga termasuk tiga anak, suami dan bapa saudara pertengahan tahun lalu sambil berharap ada pihak sudi membantu kami.
“Waktu itu, saya cuma berniaga pisang goreng dan kerap tidak dapat berniaga kerana mengidap penyakit lelah menyebabkan saya tak mampu untuk membaiki kerosakan pada rumah peninggalan arwah datuk,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima majlis penyerahan baik pulih rumah di bawah Program MyHaus di Kampung Melayu, Machap Baru di sini hari ini.
Ia disampaikan Pengarah Pejabat Pembangunan Melaka, Megat Azlani Megat Ramli.
Turut hadir, Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Parihah Hasan.
Menurut Suhaila, bantuan diterima itu akan memudahkan urusan sehariannya dan tidak perlu lagi takut setiap kali hujan lebat.
“Melalu sumbangan ini, saya akan berusaha lebih keras untuk mengembangkan perniagaan dan jika diizinkan Allah, saya mahu menjadi pembayar zakat perniagaan selepas ini untuk membantu orang lain pula,” katanya. – MalaysiaGazette