Antara barangan yang dirampas daripada tiga suspek semalam. - Gambar ihsan IPD Ampang Jaya.

KUALA LUMPUR – Polis telah memberkas tiga suspek lelaki yang disyaki terlibat memecah masuk sekolah intergrasi yang tidak mempunyai pengawal keselamatan di Taman Putra Sulaiman di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pada 29 Ogos lalu, pihaknya menerima aduan daripada guru sekolah berkenaan yang menyedari tentang insiden berkenaan.

Katanya, dalam kejadian lebih kurang 6.30 petang, guru lelaki berusia 28 tahun semasa sampai di hadapan pintu sekolah  menyedari pintu pejabat dan pintu surau dalam keadaan terbuka.

“Pemeriksaan lanjut pengadu mendapati kedua-dua tombol kunci pintu telah dirosakkan. Pengadu kemudian telah masuk ke dalam pejabat dan surau yang didapati dalam keadaan berselerak sebelum pemeriksaan mendedahkan wang tunai berjumlah RM200 yang diletakkan di dalam laci meja staf pejabat telah hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, bertindak atas maklumat dan aduan guru berkenaan, pada Isnin lepas, pihaknya telah berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki warga tempatan disyaki terlibat.

“Ketiga-tiga suspek tempatan yang masing-masing berusia 31, 45 dan 48 tahun itu dan merupakan penganggur berjaya diberkas di tepi Jalan Villa Kesuma 2, Bandar Tasek Kesuma, Beranang.

“Selain itu, polis turut merampas sebuah televisyen, alat permainan Play Station,mesin pengira wang, mesin grinder, mesin hacker, sebuah beg mengandungi peralatan mengerudi, satu beg kamera, satu beg bersama laptop, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, satu pedang sarung kayu, sebuah topi,sehelai seluar jeans, sehelai baju t-shirt, wang tunai RM1, 070 dan sebuah kereta Proton Perdana,” katanya.

Siasatan awal mendapati modus operandinya mereka dengan menyasarkan sekolah swasta dan kawasan perumahan yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.

Suspek pertama mempunyai 23 rekod jenayah bersabit jenayah dan narkotik serta dua rekod masih dikehendaki manakaka suspek kedua juga dikehendaki dengan mempunyai 20 rekod jenayah dan narkotik.

Suspek ketiga punyai enam rekod lampau jenayah dan narkotik.

“Malah saringan ujian air kencing ke atas suspek pertama sehingga ketiga mendapati kesemuanya disahkan positif dadah jenis amphetamine, methamphetamin dan benzo,” katanya.

Kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi dan telah dibenarkan direman selama enam hari sehingga 9 September ini untuk membantu siasatan lanjut.

Kes sedang disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan kesalahan pecah rumah bagi tujuan melakukan curi yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.- MalaysiaGazette