KUALA LUMPUR – Tiga sekeluarga cedera akibat dipukul gara-gara menegur jiran yang memanggil secara kasar dan kurang sopan di kawasan perumahan Jalan Tepi Sungai Klang, di sini, Ahad lalu
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian jam 6 petang dipercayai berlaku apabila teguran mangsa mencetuskan pertengkaran dengan jiran.
Tambah beliau, keadaan menjadi bertambah buruk apabila pertengkaran tersebut turut disertai jiran lain yang kemudiannya membaling batu dan memukul mangsa serta ahli keluarganya di hadapan rumah mereka.
Jelasnya, salah seorang suspek juga dipercayai menggunakan senjata tajam yang boleh mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dan ahli keluarganya.
“Insiden serangan itu telah mengakibatkan kesemua mangsa sekeluarga yang berusia lingkungan 23 hingga 57 tahun itu cedera di bahagian cuping telinga, lengan tangan, pipi dan dada.
“Bertindak atas laporan polis, pada jam 10.50 pagi tadi polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas lima suspek lelaki berusia lingkungan 25 hingga 52 tahun di sekitar kawasan Klang.
“Hasil semakan ke atas kesemua suspek mendapati tiga daripadanya memiliki empat rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya.
Menurut Hoong Fong, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memiliki senjata semasa rusuhan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Tambah beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Klang esok untuk proses perintah reman bagi meneruskan siasatan. – MalaysiaGazette