SEPANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan bahawa industri sukan elektronik (e-sukan) kini berpotensi terdedah peluang kepada aktiviti dan transaksi rasuah.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, ini kerana pihaknya telah menerima maklumat berhubung aktiviti salah laku rasuah dalam industri itu walaupun SPRM belum membuka sebarang siasatan setakat ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya berdepan cabaran dalam aktiviti rasuah dalam industri itu kerana ia tidak membabitkan transaksi perbankan sebaliknya dalam bentuk digital seperti rasuah dalam bentuk bitcoin.

“Industri sukan dahulu dan sekarang masih lagi sama, masih lagi ada aktiviti rasuah membabitkan sukan.

“Zaman sekarang, e-sukan boleh membuka ruang rasuah termasuklah dalam isu perjudian dan tidak berlaku secara transaksi perbankan sebaliknya kita lihat dalam bentuk digital seperti bitcoin.

“Inilah yang mendatangkan masalah kepada kita kerana transaksi sedemikian, akan memberi cabaran kepada kita untuk menjejak kesalahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA di sini pagi ini.

Sementara itu, mengulas kes jenayah dadah membabitkan pegawai dan anggota polis serta seorang pegawai patologi sebuah hospital di Johor yang ditahan minggu lalu, Azam berkata, SPRM ketika ini sedang meneliti semua kenyataan suspek yang ditahan dalam kes berkenaan.

“Kita mahu tengok apakah kaitan dengan pihak yang memberi rasuah. Ia juga penting untuk siasatan salah laku yang dijalankan oleh pegawai dan anggota polis berkenaan. Jika ada kesalahan jenayah, maka kita akan lakukan perkara seterusnya,” katanya.

Minggu lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, mengesahkan seorang pegawai kanan dan dua pegawai rendah termasuk seorang wanita ditahan SPRM susulan agensi penguat kuasa itu menahan seorang pegawai patologi sebuah hospital.

Ia menimbulkan persoalan berhubung ratusan kes-kes dadah yang mungkin dilepaskan dan perlu disiasat semula ekoran aktiviti rasuah itu. – MalaysiaGazette